27973520_10215246555502903_2507084343306981947_n

Selepas menandatangani perjanjian pembelian AirAsia dari DRB Hicom pada 2001, antara perkara pertama yang dilakukan Tony Fernandes adalah bertemu dengan pekerja-pekerja sedia ada AirAsia di pejabat DRB Hicom.

Beliau merasa gementar. Tony biasa membuat penyampaian (presentation) semasa bekerja di Warner Music. Tetapi ia berkenaan artis dan band muzik. Kali ini beliau perlu membuat penyampaian berkenaan penerbangan, pesawat dan penumpang, sesuatu yang asing bagi beliau.

Pada masa yang masa juga, Tony merasa teruja kerana beliau tidak pernah menyangka yang beliau mempunyai keberanian untuk mencuba menjadi seorang usahawan.

Semasa beliau melangkah masuk ke bilik perjumpaan di DRB Hicom, sekitar 40 orang pekerja asal AirAsia terdiri dari jurutera, krew kabin, juruterbang dan pekerja lapangan sedang menunggu.

Mereka semua mermerhatikan Tony dengan penuh skeptikal; seorang bekas eksekutif syarikat muzik yang ada idea gila untuk menawarkan penerbangan tambang murah di Malaysia.

Sewaktu Tony menerangkan model bisnes yang dirancangkan, mereka hanya diam. Tony tidak pasti sama ada mereka mendiamkan diri kerana hormat pada beliau atau kerana tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

Sebaik tamat, salah seorang jurutera mengangkat tangan dan melontarkan pertanyaan :

“Rakyat Malaysia inginkan layanan dan servis, adakah model tambang murah ini akan berjaya?”.

“Lihat, jika kita mengenakan tambang yang cukup rendah, saya fikir ia akan berjaya. Kita masih boleh tawarkan servis yang perlu dan adakan peraturan yang sepatutnya untuk pelanggan patuhi.” jawab Tony.

“Saya tidak menyasarkan mereka yang biasa menggunakan MAS atau Singapore Airlines, tetapi saya ingin mewujudkan satu pasaran baru iaitu mereka yang tidak pernah berpeluang menggunakan perkhidmatan penerbangan,” jelas Tony lagi.

Keadaan di dalam bilik itu sepi seketika dan kemudian seorang krew kabin menyatakan pandangannya;

“(Idea) Ini memang bijak. Saya percaya kita akan menjadi lebih besar dari MAS suatu hari nanti. Hanya dengan melihat tenaga dan nyalarasa dalam penyampaian tuan sudah cukup untuk memberikan inspirasi. Sudah lebih 6 tahun kami tidak melihat sikap sebegini (dari pengurusan atasan). Saya bangga kerana dapat menjadi sebahagian dari usaha ini.”

(Diolah dari autobiografi Flying High : My Story Tony Fernandes)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *