hondajet

5 tahun lalu, pada usia 32 tahun, Mohd Azharul Ariff Harsat boleh dikatakan hidup selesa dengan  jawatan sebagai penolong pengarah jualan syarikat jualan langsung dengan gaji lebih RM7 ribu sebulan.

Tetapi pada awal 2013, beliau diuji Allah dengan penyakit diabetes yang tidak disedarinya selama ini. Azharul tiba-tiba pengsan di pejabat dan ditahan 3 bulan di hospital kerana telah mendapat jangkitan serta perlu disuntik insulin dengan dos yang tinggi.

Akibatnya beliau tidak boleh bergerak terlalu aktif dan terpaksa berhenti kerja. Untuk menyara keluarga, beliau menjual produk kesihatan secara dalam talian.

Ketika jualannya telah meningkat naik, keahlian beliau sebagai ejen dibatalkan atas sebab teknikal oleh syarikat jualan langsung tempat beliau bekerja.

Penghujung 2013, Azharul diuji lagi. Sebelah matanya buta dan kesihatan badannya agak merosot. Isteri beliau, Norliana Hashim, terpaksa membantu untuk jalankan aktiviti harian dan selama sebulan beliau runsing memikirkan apa yang perlu dibuat.

Azharul kemudian meminta isterinya berhenti bekerja untuk sama-sama berniaga menjual nasi lemak di tepi jalan. Adat orang berniaga, banyak cabaran mereka hadapi pada peringkat termasuk nasi lemaknya pernah tidak laku walaupun satu.

Azharul dan isterinya bertahan dan pada masa yang sama, mereka juga membuat bisnes katering secara kecil-kecilan sehinggalah pada tahun 2015, mereka bejaya membuka sebuah kafe secara perkongsian dengan seorang rakan. Kafe itu dinamakan Abang Botak Kafe.

Tidak berapa kemudian, mereka mendapat tender menguruskan kantin di sebuah kelab golf. Keadaan kewangan bisnes pasangan ini semakin stabil hingga mampu menggaji beberapa orang pekerja.

Tetapi kesihatan Azharul diuji sekali lagi pada awal tahun lalu.

Beliau diserang ‘brain stem stroke’ dan ‘Bell’s Palsy’ hingga badannya lumpuh dan mukanya herot. Sebelah lagi matanya turut buta. Emosinya tertekan dan beliau terpaksa menghabiskan berulang alik ke hospital bersama isterinya.

Bisnes yang ada terpaksa dihentikan dan mereka membuat keputusan untuk hanya fokus pada bisnes katering dengan beroperasi dari rumah di Puchong.

Walaupun lumpuh dan buta, Azharul menguatkan semangat dan terus berusaha kerana bagi beliau akalnya masih lagi sempurna dan boleh digunakan sebagai ‘modal’. Pengasas Speedmart 99, Lee Thiam Wah yang lumpuh kaki akibat penyakit polio menjadi inspirasi beliau.

Tugasan dibahagikan antara beliau dan isterinya. Azharul akan merancang apa yang hendak dimasak, manakala Norliana pergi ke pasar dan memasak.

Kini, bisnes katering mereka semakin mendapat sambutan di kalangan pelanggan individu dan korporat dan menu popular mereka adalah Asam Pedas Daging Tertel, Asam Pedas Ikan Tenggiri, Soto Jawa dan begedel.

Kedua tangan Azharul juga kini boleh digerakkan sedikit. Dan walaupun pendapatan mereka tidak sebanyak dahulu tapi bagi beliau ia lebih berkat dan mengatakan;

“Dahulu dapat gaji 7 ke 8 ribu sebulan pun tidak cukup untuk sampai ke hujung bulan. Sekarang walaupun dapat kurang daripada itu tetapi cukup bahkan kadang-kadang dapat makan makanan yang lebih baik daripada waktu dahulu.”

(Diolah dari artikel di Bernama).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *