ext

Uber yang bernilai RM68 bilion (di atas kertas) adalah antara kisah syarikat ‘start-up’ yang paling banyak diperkatakan dan dijulang sebagai ‘start-up’ yang berjaya.

Realitinya dari sudut pandang orang bisnes, Uber masih belum berjaya dan soalan yang sedang hangat ditimbulkan di kalangan pelabur Uber dan penganalisa industri kini adalah :

‘Adakah model bisnes Uber dapat bertahan sekiranya insentif subsidi tambang yang diberikan Uber kepada penumpangnya dihapuskan ?’

Insentif subsidi itu diberi dalam usaha Uber untuk mengembang dan mengekalkan penguasaan pasarannya. Sebagai contoh, pada tahun 2015, purata kadar subsidi tambang yang diberi adalah sebanyak 41% manakala pada tahun ini ada yang mencecah sehingga 50%.

Strategi subsidi ini sepatutnya bersifat sementara sahaja kerana berdasarkan perancangan awal Uber, sebaik sahaja mereka berjaya menguasai majoriti pasaran, subsidi akan dihentikan dan harga tambang akan dinaikkan bagi membolehkan Uber mula mencatat keuntungan.

Kini selepas 8 tahun, tiada tanda yang menunjukkan strategi ini berjaya.

Sebaliknya Uber masih terpaksa memberi subsidi kerana saingan yang kuat dari penyedia perkhidmatan yang lain seperti Lyft di US, Ola di India, Careem di Timur Tengah dan Grab di Malaysia. Di US sahaja, penguasaan pasaran oleh Uber menurun dari 87% pada Oktober tahun lepas kepada 75% pada September tahun ini dan di China, Uber sudah pun gulung tikar.

Subsidi yang menggunakan banyak dana dari pelabur ini menyebabkan Uber masih mengalami kerugian di semua negara ia beroperasi dan ini merisaukan para pelabur.

Dan apa yang turut membimbangkan Uber, tinjauan yang mereka jalankan pada tahun 2016 menunjukkan apabila Uber memaklumkan kepada penumpang bahawa harga tambang naik sekali ganda, jumlah penumpang yang menggunakan Uber berkurangan sebanyak 40%.

(Reuters)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *