640dff3f56781cad483da0a59ba63dae

Sekitar pertengahan tahun 90an, semakin ramai pesaing tidak senang hati dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh TS Mokhtar AlBukhary terutamanya di Johor.

Hubungan rapat beliau dengan Menteri Besar Johor pada masa itu, TS Muhyiddin Yassin dikaitkan dengan kejayaan beliau dapat projek-projek di negeri tersebut.

Kata TS Syed Mokhtar, ”Dalam tahun 90an, orang tidak kenal siapa saya dan apa saya lakukan. Projek-projek yang saya dapat telah dinilai terlebih dahulu oleh Unit Perancang Ekonomi di Kuala Lumpur.

Saya ambil bahagian dalam tawaran kerana kedudukan dan kredit bisnes saya kukuh. Saya bayar untuk segala-galanya terutamanya melalui ekuiti dan pinjaman bank. Tiada yang datang bergolek. Semuanya hasil kerja keras dan titik peluh sendiri.”

Tetapi rungutan mengenai TS Syed Mokhtar akhirnya sampai ke telinga Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Dr, Mahathir tidak pernah dengar nama TS Syed Mokhtar sebelum itu dan memanggil beliau ke pejabat.

Pada Khamis, 16 Januari 1997, tepat jam 2.30 petang. TS Syed Mokhtar masuk ke pejabat Dr. Mahathir di Kuala Lumpur. Temujanji yang diberi hanya selama setengah jam.

“Saya sapanya dengan salam dan dia berdiri di hadapan hadapan saya. Apabila dia duduk, dia tidak pula suruh saya duduk.

Saya berpeluh.

Dan saya putuskan untuk duduk bagi bentangkan semua dokumen yang saya sediakan untuk jelaskan tentang semua perniagaan saya di Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.

Ini termasuk projek pembangunan Kompleks Ilmu Sharifah Rokiah bagi tujuan kebajikan di samping sebuah universiti untuk mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri mendengar dengan teliti tanpa berkata sepatah pun. Apabila saya selesai menerangkannya, sudah sejam sepuluh minit masa berlalu.

Masih tidak ada sepatah perkataan ( dari mulut Dr. Mahathir). Saya tinggalkan dokumen di atas mejanya dan beredar.
.
Ia merupakan 70 minit yang paling menggerunkan dalam hidup saya.”

Dan petang itu, TS Syed Mokhtar terbang ke Mekah untuk tunaikan umrah tanpa tahu hasil pertemuan tersebut.

Beberapa hari selepas kembali dari Mekah, beliau terima panggilan dari Perdana Menteri. Beliau masih tidur dan hampir terjatuh dari katil ketika hendak jawab panggilan tersebut..

Mesej yang diterima beliau cukup ringkas iaitu, ”Hal anda di Kedah telah diselesaikan.”

Apa pendapat Dr. Mahathir tentang TS Syed Mokhtar?

”Syed Mokhtar berbeza daripada orang Melayu dan ahli perniagaan Malaysia lain kerana dia mempunyai cita-cita besar. Dia adalah peniaga lembu dan beras dan terdapat sedikit sangat orang Melayu dalam perniagaan ini.

Bukanlah suatu perkara biasa bagi orang biasa dengan latar belakang demikian bercita-cita jalankan projek-projek besar seperti bina pelabuhan kontena.”

[ Olahan dari Biografi Syed Mokhtar AlBukhary ]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *