Aaron Patel

Aaron Patel, pemilik syarikat iHandal Energy Solutions Sdn Bhd, boleh dikategorikan sebagai usahawan tidak sengaja.

Pada usia 17 tahun, beliau terpaksa mengambil alih bisnes  milik ayahnya kerana ayahnya mendapat serangan angin ahmar.  Beliau tidak mempunyai pilihan lain kerana ibunya tidak bekerja dan bisnes itu adalah satu-satunya punca pendapatan keluarganya.

Mahu tidak mahu, beliau perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan menguruskan bisnes.

Ayahnya menjalankan bisnes pembekalan panel solar dan ia hanyalah bisnes kecil. Kesemuanya dilakukan sendiri kerana tidak mempunyai pekerja.

Aaron kemudiannya beralih kepada pembekalan peralatan industri yang membolehkan tenaga dalam bentuk haba dikitar semula untuk digunakan pada pemanas air.

Walaupun peralatan ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga dan menjimatkan kos sesuatu bisnes tetapi beliau berhadapan dengan satu cabaran; bagaimana hendak membuatkan pelanggan yakin dengan dirinya yang baru berusia 17 tahun ketika itu.

Sebagai penyelesaian, Aaron menawarkan kepada pelanggannya pakej di mana syarikat beliau akan memasang terlebih dahulu peralatan tersebut di premis pelanggan dan menggunakannya terlebih dahulu untuk tempoh tertentu.

Hanya setelah pelanggan berpuas hati barulah mereka membuat pembayaran.

Satu lagi strategi yang dilaksanakan oleh Aaron untuk mendapatkan keyakinan pelanggan adalah dengan membentuk persepsi bahawa syarikat beliau yang mempunyai pekerja yang ramai. Beliau  melakukannya dengan memasang sistem menjawab panggilan telefon yang memerlukan pelanggan menekan nombor tertentu untuk membolehkan panggilan mereka disambung  ke jabatan yang berbeza seperti nombor 1 untuk jabatan jualan, nombor 2 untuk jabatan teknikal atau nombor 3 untuk jabatan khidmat lepas jualan.

Namun sebenarnya setiap nombor yang dipilih oleh pelanggan akan menyambungkan panggilan mereka terus ke telefon bimbit Aaron.

ihandal

(Sumber : The Star)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *