beras
Kita semua tahu, Tan Sri Syed Mokhtar mula berniaga membekalkan daging semasa muda.
Selepas itu, beliau menubuhkan syarikat pengangkutan lori pula.
Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar mula melihat potensi bisnes pengedaran beras yang dikuasai oleh peniaga Cina pada masa itu.
Ketika itu umurnya baru berusia 24 tahun.
Beliau kemudiannya membeli sebuah kedai untuk memenuhi syarat permohonan lesen mengedar beras yang ditetapkan oleh kerajaan dan syarikatnya dinamakan Shah Enterprises Sdn Bhd.
Beliau melihat tiada jalan lain bagi orang Melayu untuk menembusi bisnes tersebut melainkan secara kerjasama dengan pengilang-pengilang padi yang juga dikuasai peniaga Cina.
Ini kerana pengilang-pengilang padi inilah yang mengawal rangkaian pembekal beras. Mereka berkuasa menentukan siapa yang akan mengedarkan beras-beras keluaran mereka.
Rakannya di Padiberas Nasional Berhad memperkenalkan Tan Sri Syed Mokhtar kepada kepada tiga pengilang padi utama di utara.
Tan Sri Syed Mokhtar  berjaya menjalin usahasama dengan dua darinya iaitu Hock Suan Bee dan Chuah Chong Tan.
Pengilang padi tersebut mempercayai beliau kerana hubungannya dengan rakannya di Padiberas Nasional tersebut.
Dan Tan Sri Syed Mokhtar berterus terang yang beliau mahu memegang saham majoriti dan mengawal bisnes tersebut, bukannya sekadar menjadi wakil bumiputera.
Hock bersetuju. Dua lagi pengilang padi dibawa masuk sebagai rakan kongsi iaitu Ng Ghik Gee dan Soo Hin.
Atas nasihat Soo Hin, mereka menubuhkan Bukhary Sdn Bhd dengan modal berbayar RM200 ribu dan Tan Sri Syed Mokhtar  menyuntik aset lori-lorinya sebagai modal untuk 52% saham milik beliau.
Soo Hin memegang 32% saham dan Chuah memegang 16% saham dan mereka membayar modal secara tunai.
Tidak berapa lama kemudian. rakan-rakan kongsi Cina beliau membuat keputusan mendadak untuk menaikkan modal berbayar kepada RM400 ribu dan setiap pemegang saham dikehemdaki membayar modal mereka secara tunai.
Tan Sri Syed Mokhtar mula risau kerana bahagian beliau adalah RM208 ribu, satu jumlah yang banyak.
Beliau tidak mempunyai tunai yang mencukupi dan jika beliau tidak membuat tambahan dana, peratusan sahamnya akan berkurangan.
Akibatnya, beliau hanya akan menjadi pemegang saham minoriti dan hilang kawalan pada pengurusan syarikat tersebut.
Untuk mengelakkan ia berlaku, Tan Sri Syed Mokhtar terpaksa meminta bantuan ibubapanya dan mereka mencagarkan dua bidang tanah kepada bank UMBC untuk mendapatkan pinjaman.
Dengan duit pinjaman tersebut, Tan Sri Syed Mokhtar berjaya mengekalkan pegangan sahamnya.
Selepas itu beliau memastikan dalam Memorandum of Asssociation atau ’perlembagaan’ syarikat Bukhary Sdn Bhd dimasukkan klausa bahawa saham bumiputera dalam syarikat tersebut tidak boleh dicairkan dalam apa juga keadaan.
[Olahan dari biografi Syed Mokhtar Al-Bukhary]
Baca lebih banyak kisah bisnes dan inspirasi di Facebook penulis.
FB Porfile