Amazon-FC-1

Dengan kadar margin untung bersihnya yang sangat nipis iaitu hanya sekitar 1 peratus, Amazon perlu memastikan pelanggannya kerap membuat pembelian berulang.

Bagaimana Amazon melakukannya?

Ada 10 strategi yang dilaksanakan Amazon yang diulas di dalam laman Time.com (bahagian Everyday Money).

Ada strategi yang boleh diubahsuai untuk bisnes kita sendiri dan ada yang tidak bersesuaian.

1. Menggunakan data untuk membuat upsell dan cross-selling.

Setiap kali kita memilih produk untuk dibeli di Amazon, ia akan turut membuat upsell dan cross-selling dengan memaparkan bahagian ‘Frequently Bought Together’ dan ‘Customers Who Bought This Item Also Bought’ di bahagian bawah.

Produk-produk yang disenaraikan di 2 bahagian ini dicadangkan dengan menganalisa data berkaitan kelakuan kita dan pelanggan-pelanggan lain yang membeli secara online sebelum ini.

Amazon menjana 35% pendapatan dari strategi upsell dan cross-selling ini kerana data memungkinkan cadangan produk yang dibuat menepati kehendak kita.

2. Tawaran penghantaran percuma

Pelanggan Amazon diberi 2 pilihan bagaimana untuk menikmati tawaran penghantaran percuma.

Pertama, buat pembelian buku minimum USD25 atau USD49 untuk produk-produk lain. Atau kedua, jadi ahli Amazon Prime Membership dengan bayaran USD99 setahun.

Walaupun Amazon sebenarnya masih menanggung sendiri kos penghantaran ini, tetapi strategi ini berjaya membuatkan pelanggan sama ada menjadi ahli Amazon Prime Membership atau membuat lebih banyak pembelian.

Menurut Forbes, pada tahun 2015, strategi ini menjana USD11.5 billion pendapatan kepada Amazon dan sebahagian dari pendapatan ini mampu menampung kos penghantaran percuma tersebut.

3. Keahlian Amazon Prime Membership

Ini boleh dikategorikan sebagai senjata utama Amazon untuk membuat pelanggannya berbelanja lebih.

Ahli Amazon Prime Membership (Prime) menikmati penghantaran percuma (2 hari tempoh penghantaran atau 2 jam bagi lokasi tertentu), penstriman video dan muzik tanpa had, pembelian awal untuk tawaran jualan murah dan diskaun pembelian.

Dianggarkan terdapat lebih 56 juta rakyat US yang menjadi ahli Prime.

Mereka ini akan berhenti membeli di laman e-commerce lain bagi menggunakan sepenuhnya faedah keahlian Prime dan secara purata, setiap ahli Prime membuat pembelian sebanyak USD1,500 setahun berbanding USD625 pembelian oleh pelanggan biasa Amazon.

4. Prime Instant Video

Ahli Prime dapat menonton secara percuma video rancangan TV atau filem popular melalui Prime Instant Video .

Walaupun percuma, Amazon tetap dapat membuat duit kerana ahli Prime yang menonton secara percuma ini adalah 10 kali berkemungkinan menyewa atau membeli rancangan TV dan filem yang tidak percuma.

5. One-click ordering

Kaedah pembelian online ini diperkenalkan oleh Amazon bagi mempermudahkan lagi proses pembelian bagi pelanggan.

Apabila pelanggan sudah menyimpan maklumat kad kredit dan alamat penghantaran di laman Amazon, setiap pembelian selepas itu hanya memerlukan satu langkah atau satu klik tanpa perlu melalui proses checkout.

Kaedah yang dipatenkan ini membuatkan pelanggan membuat pembelian spontan mengikut gerak hati (impulse buying).

amazon

6. Butang Dash

Butang Dash adalah butang yang memudahkan pelanggan membeli produk yang kerap dibelinya juga dengan hanya satu klik. Setiap satu butang Dash mewakili satu jenama dan ia terdapat dalam bentuk maya di dalam aplikasi Amazon serta juga dalam bentuk fizikal yang mempunyai sambungan wifi.

Contohnya, jika pelanggan kerap membeli lampin bayi berjenama Diapers, dia akan menerima satu butang Dash dengan logo Diapers yang boleh dilekatkan di peti sejuk. Apabila lampinnya hampir habis, pelanggan tersebut hanya perlu menekan butang Dash tersebut dan secara automatik butang Dash Diaper akan berkomunikasi dengan aplikasi Amazon di telefon bimbit dan membuat pembelian berdasarkan rekod terdahulu.

Hanya sekali pembelian dibenarkan sehari dan setiap pembelian boleh dibatalkan dalam tempoh 30 minit.

7. Promosi Kindle

Untu pelanggan yang mempunyai Kindle (tablet ebook keluaran Amazon), Amazon menganjurkan jualan promosi khas untuk mereka.

Terdapat antara sekitar 45 juta pemilik Kindle dan seperti ahli Prime, mereka lebih kerap membuat pembelian dan kebanyakannya adalah barangan yang mahal. Secara purata mereka berbelanja sebanyak USD1,450 di laman Amazon berbanding USD725 bagi bukan pemilik Kindle.

8. Prime Day

Prime Day adalah jualan harga lebih murah selama 24 jam khas untuk ahli Amazon Prime. Ia diadakan dengan 2 matlamat khusus : menggalakkan ahli Prime untuk membuat pembelian lebih banyak dan menarik lebih ramai pelanggan bukan ahli Prime menjadi ahli dengan tempoh percubaan percuma selama 30 hari.

Jualan Prime Day tahun 2017 adalah 60% lebih banyak dari jualan pada tahun 2016 dan keahlian Prime meningkat sebanyak 42% kepada sekitar 85 juta ahli.

9. Lightning Deals

Ini adalah jualan kilat yang dilakukan dari semasa ke semasa dalam tempoh masa yang terhad dan juga pilihan serta jumlah produk yang terhad. Pelanggan boleh melihat jadual Lightning Deal di laman Amazon dan bagi ahli Prime, mereka mendapat akses 30 minit sebelum waktu sebenar Lightning Deals dimulakan.

10. Amazon Echo

Echo adalah peralatan ‘wireless’ yang mempunyai mikrofon kecil, pembesar suara dan kepintaran buatan (artificial intelligence) yang membolehkan pelanggan Amazon mendengar muzik, mendengar buku audio, menonton video, membuat panggilan dan mengawal peralatan pintar di rumah dengan hanya menggunakan arahan suara.

Dengan Echo juga pelanggan Amazon boleh membuat pembelian secara arahan suara dan ini bukan sahaja memudahkan pelanggan membuat pembelian tetapi mendorong mereka membeli mengikut gerak hati tanpa berfikir panjang.

Terdapat 3 billion pembeli Echo dan pada tahun 2020, pelanggan dijangka akan melakukan pembelian sebanyak USD7 billion melalui Echo.

Time/Business Insider/Forbes

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *