urrrjbh1txeujutohy4q_bootstrapping_funded
Antara kesilapan besar yang biasa dilakukan oleh kita apabila mahu mula berbisnes adalah menganggap bisnes dengan modal yang besar akan menghasilkan untung yang besar.

Akibatnya kita terjebak mengambil pinjaman berpuluh atau beratus ribu untuk memulakan bisnes.

Misalannya, untuk menjual makanan kita akan membuka kafe hipster atau menggunakan ’food truck’. Atau jika mahu jual tudung kita kena ada butik dengan hiasan dalaman yang kontemporari, baru boleh mula berbisnes.
Kita yakin bila ada kedai sebegini baru pelanggan akan menderu datang membeli dan kita akan terus buat untung.

Realitinya tidak begitu.

Menurut Bloomberg, 80 peratus bisnes baru ditutup dalam tempoh 18 bulan pertama beroperasi. Atau dengan kata lain 8 daripada 10 bisnes baru GAGAL.

Bayangkan jika kita telah memulakan bisnes food truck dengan pinjaman RM200,000 dan terpaksa tutup kerana jualan tidak cukup untuk menampung kos operasi. Akibatnya, kita terpaksa menanggung membayar hutang RM3,000 selama 7 tahun dengan ’food truck’ tersadai di rumah.

Melainkan anda merupakan anak orang berada atau mempunyai ’cable’ yang kuat untuk mendapatkan projek kerajaan, cara yang betul untuk memulakan bisnes adalah dengan mulakan dengan apa yang di tangan.

Di Barat, ia dikenali sebagai ’bootstrapping’ di mana kita memulakan bisnes dengan modal wang atau bakat yang sedia ada pada kita tanpa perlu mengambil pinjaman.

Dengan cara ’bootstrapping’, kita perlu mengikat perut dengan mengawal perbelanjaan peribadi kerana setiap untung yang dibuat perlu dilaburkan kembali ke dalam bisnes. Setiap kali untung itu dilaburkan ia akan membantu mengembangkan bisnes tersebut secara beransur-ansur.

Kisah benar seorang ejen Amway (syarikat jualan langsung) di Malaysia yang menggunakan cara bootstrapping di bawah ini boleh dijadikan contoh.

Nama beliau Chan Lee Sean dan miskin. Selepas mendaftar menjadi ejen Amway pada tahun 197, beliau memulakan jualannya dengan menjual sebotol bedak muka.

Setiap kali beliau dapat menjual, wang untung yang diperolehinya akan digunakan untuk menambah stok produk bedak mukanya. Bisnes jualan langsungnya dibangunkan secara beransur-ansur cara ini.

Lagi banyak bedak yang dapat dijual, lagi banyak keuntungan yang diperolehi untuk menambah stok.

Beliau terus mengulang proses yang sama dan dalam tempoh satu tahun beliau berjaya mencapai pangkat Direct Distributor.

Selepas 37 tahun beliau berjaya membina downline atau ejen di enam negara luar termasuk di China. Semuanya bermula dengan sebotol bedak muka.

Begitu juga dengan syarikat Apple. Ia dimulakan oleh Steve Jobs dan Steve Wozniak di garaj rumah dengan jualan awal beberapa unit litar komputer yang dibuat sendiri oleh Wozniak.

Jadi, jika kita mempunyai RM500 sahaja di dalam tangan, kita mulakan apa sahaja bisnes dengan modal sebanyak itu. Sekiranya kita pandai membuat kek, kita guna duit itu untuk membeli barang dan kelengkapan ringkas dan buat dulu di rumah. Jual di kalangan jiran-jiran dan rakan-rakan pejabat terlebih dahulu.

Begitu juga jika kita ingin menjual tudung. Mulakan dengan membeli stok tudung berharga rendah yang biasa dipakai setiap hari oleh wanita dalam 10 helai dan jual di kalangan rakan-rakan secara langsung melalui Facebook, Instgram dan sebagainya. Modalnya mungkin hanya sekitar RM100 sahaja.

Dan sekiranya ditakdirkan kita gagal selepas berusaha, kerugian yang kita tanggung hanyalah terhad kepada modal RM500 atau RM100 yang anda telah laburkan tadi.

Dengan kerugian sikit yang ditanggung tadi, ia tidak membunuh semangat dan motivasi kita untuk memulakan bisnes lain dengan cara yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *