mryong-managing-director-writebest-400x400 (1)

Pada umurnya masih 4 tahun, bapa Yong Yoon Ming meninggal dunia.

Semenjak dari itu, beliau dibesarkan oleh saudara-maranya yang kerap berpindah randah. Dan kerana itu, sijil kelahiran beliau hilang . Yong terpaksa berhenti belajar pada umur 9 tahun.

Ia berlaku pada tahun 1967 dan beliau tidak berpeluang untuk menghabiskan pembelajaran di sekolah rendah, apatah lagi sekolah menengah.

Semenjak dari itu, Yong mula bekerja bagi mencari wang untuk menampung kehidupannya. Beliau bekerja di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur di pusat membeli belah dan menjual poster serta anting-anting di pasar malam.

Setelah melakukan pelbagai pekerjaan yang tidak tetap, Yong akhirnya mendapat pekerjaan sebagai pekerja am di sebuah kedai alat tulis. Bekerja di kedai yang kecil, beliau perlu melakukan pelbagai tugas dari membersihkan kedai, melayan pelanggan dan mengurus jualan.

Walaupun penat tapi Yong tidak mengeluh kerana ini membolehkannya belajar banyak perkara.

Ketika bermula, gaji beliau hanya RM300 sebulan dan ia dinaikkan kepada RM400 hanya empat tahun selepas itu.

Tapi ia tidak mencukupi kerana pada masa itu beliau sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Dengan perbelanjaan lain seperti sewa rumah dan barangan dapur, kehidupannya di bandar memang mencabar.

Yong melihat satu-satunya jalan untuk mendapat pendapatan lebih adalah melalui bisnes.

Berbekalkan modal hanya RM150, beliau tekad memulakan bisnes trading alat tulis pada tahun 1988. Dengan modal itu, Yong membeli buku invois, membuat kad nama dan membeli stok permulaan.

Memandangkan beliau tidak mempunyai sebarang kenderaan untuk membuat penghantaran, rakan beliau meminjamkan motorsikal untuk bergerak membuat jualan di kedai-kedai buku semasa waktu bekerja.

Di sebelah malam pula, rakannya yang dibenarkan membawa balik van milik syarikat tempat bekerja akan meminjamkannya kepada Yong bekerja untuk beliau membuat penghantaran barang. Kebanyakan dari pelanggan-pelanggan tersebut dikenali sewaktu beliau bekerja dahulu dan mereka tidak kisah membenarkan Yong membuat penghantaran di waktu malam.

Semasa bekerja dahulu, Yong belajar satu perkara iaitu amat penting melayan dengan baik semua orang yang kita kenal dan menjadikan mereka rakan kerana hanya rakan yang akan membantu apabila kita memerlukan.

Setahun selepas itu, beliau sudah mampu membeli van sendiri dan empat tahun kemudian, Yong mengambil pekerja pertamanya. Pada waktu itu, bisnesnya sudah mempunyai 100 pelanggan yang terdiri dari kedai-kedai alat tulis di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pahang.

Beliau mengedarkan lebih 1,000 jenis alat tulis dan kadangkala beliau menerima pesanan untuk papan tulis. Memandangkan beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkannya, Yong membuat keputusan untuk berhenti menjualnya.

Pada masa yang sama ketika itu, beliau menghadapai masalah besar kerana seorang pekerjanya menipu dengan memesan stok tambahan pembekal tanpa pengetahuan beliau dan menjualnya secara senyap-senyap.

Ini menyebabkan beliau berhutang sebanyak RM300,000 dengan pembekal-pembekal tersebut. Selepas berunding, Yong memulangkan baki stok yang ada dan berjanji untuk membayar hutang-hutang tersebut apabila mampu nanti.

Beliau menutup bisnesnya. Fikiran Yong ligat mencari jalan untuk membuat sesuatu bagi membayar hutang yang amat banyak itu dan ketika itu beliau teringat tentang papan tulis yang sukar untuk didapati semasa beliau berniaga.

Screenshot_20171205-231945~2

Idea untuk membuat sendiri papan tulis itu bermain di fikiran Yong kerana ia lebih murah untuk dihasilkan. Apa yang diperlukan hanyalah papan, lapis, aluminium dan kepingan keluli. Beliau membuat keputusan untuk menyewa sebuah kedai di Cheras pada tahun 1994 bagi dijadikan tempat membuat papan tulis.

Dengan 3 orang pekerja, Yong cuba membuatnya sendiri tetapi ia semudah yang beliau fikirkan sebelum ini. Beberapa papan tulis yang dihasilkan mempunyai kecacatan terutamanya gelumbung-gelumbung kecil di permukaannya yang menyebabkannya kasar dan tidak sesuai untuk ditulis.

Selepas beberapa kali percubaan dengan menggunakan gam yang berlainan, akhirnya Yong berjaya menghasilkan papan tulis yang boleh digunakan. Hampir setiap hari Yong dan pekerja beliau bekerja sehingga pukul 2 pagi dan papan-papan tulis yang telah siap dijual melalui pengedar serta ke kedai-kedai alat tulis.

Yong mengekalkan hubungan baik dengan kesemua pembekal ini dan mereka ini banyak membantu menjual papan tulisnya.

Dalam masa 2 tahun berikutnya beliau berjaya melunaskan hutang kepada semua pembekal.

Langkah seterusnya, beliau mula merancang untuk meletakkan jenama pada produk papan tulis tersebut. Pada mulanya, Yong memilih nama Goodwrite kerana bunyinya baik apabila diterjemah ke bahasa Cina.

Tapi rakan-rakan beliau yang mahir berbahasa Inggeris mencadangkan nama Writebest yang lebih sesuai dan tepat.

Yong menggunakan nama tersebut dan pada tahun 2001, beliau menubuhkan syarikat Sdn Bhd sesuai dengan perkembangan syarikatnya. Kedainya di Cheras berpindah ke sebuah kilang yang lebih besar di Hulu Langat dan di sini, Yong turut menghasilkan aksesori untuk papan tulis seperti kaki dan kabinet gelungsur untuk papan tulis.

office223

Pada 2006, produk keluaran bisnes Yong mula dieksport ke luar negara termasuk ke Brunei dan Australia dan memandangkan bisnes tersebut semakin bekembang, Yong membuat keputusan membeli dan berpindah ke kilang sendiri yang lebih besar.

Jumlah pekerja kilang beliau telah mencecah 180 orang dan walaupun hanya menjual produk papan tulis dan aksesori, jualan pada tahun 2016 syarikat Yong mencecah RM30 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *