36944729_10216395598348256_189666442986127360_n

Pada sekitar tahun 1985, seorang ahli perniagaan Melayu telah membeli sebidang tanah bagi membina 12 unit rumah mewah di Alor Setar. Projek itu amat penting bagi bisnes beliau kerana ekonomi negara sedang gawat pada masa itu dan perniagaan beliau turut terjejas.

Semua kelulusam telah diperolehi dan beliau sudah hampir untuk memulakan pembinaan.

Tidak berapa lama kemudian, pemimpin masyarakat di situ datang berjumpa dengan ahli perniagaan ini dan meminta beliau membina sebuah masjid di situ.

Ahli perniagaan terus bersetuju dan akhirnya membina Masjid Syed Mohamad bersempena nama datuk beliau.

Ahli perniagaan itu adalah TS Syed Mokhtar AlBukhary. Walaupun beliau bukan orang terkaya di Malaysia tetapi majalah Forbes pernah menyenaraikan beliau sebagai orang terkaya kedua yang paling pemurah di Malaysia pada tahun 2008.

Seawal umur tahun 6 tahun, TS Syed Mokhtar sudah ada sikap dermawan. Duit 50 sen yang diberi oleh ibu beliau untuk menggunting rambut diberi kepada peminta sedekah. Kerana takut ibunya tahu, beliau menceritakan perbuatannya kepada seorang jiran yang kemudian memberikan duit untuk beliau menggunting rambut.

Apabila TS Mokhtar mula berniaga beras, atas nasihat ibunya, separuh dari gajinya yang berjumlah RM1,500 pada masa itu diberikan kepada keluarga-keluarga miskin. (Berapa ramai dari kita yang sanggup menyerahkan separuh gaji untuk tujuan amal?)

Apabila rezekinya semakin murah, TS Syed Mokhtar meneruskan kerja-kerja amalnya dengan lebih sistematik melalui Yayasan AlBukhary.

Melalui yayasan tersebut, beliau menubuhkan Muzium Kesenian Islam bagi menggalakkan orang Islam dan bukan Islam menghargai seni dan kebudayaan Islam.

Projek Tuisyen yang dilancarkan pada tahun 2001 cukup memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan. Dalam 9 tahun pertama pelancarannya, 80,000 orang kanak-kanak sekolah dari 500 buah telah menikmati tuisyen percuma ini.

Pada tahun 2005 pula, TS Syed Mokhtar melancarkan Program Biasiswa AlBukhary yang memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin dari Asia, Afrika, Eropah Timur dan Timur Tengah.

Banyak lagi sumbangannya yang tidak pernah ‘diiklankan’ dan ia diberi kepada semua bangsa tidak kira Islam atau bukan Islam.

Tetapi pengajaran yang paling penting sekali adalah TS Syed Mokhtar memulakan kerja amalnya sejak baru berniaga lagi, bukannya menunggu sehingga menjadi orang kaya baru hendak bersedekah.

(Olahan dari biografi Syed Mokhtar AlBukhary)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *