d tandoor

Adakalanya, dalam usaha kita untuk mencapai impian, pengkritik terbesar kita datang dari kalangan mereka yang terdekat.

Bagi pengasas rangkaian Restoran D’Tandoor, Datuk Abdul Malik, bapa beliau merupakan pengkritik utamanya.

Pada masa remajanya, Datuk Abdul Malik, pernah bekerja di restoran untuk membantu keluarganya yang miskin. Selepas 6 bulan bekerja, beliau berjaya menggandakan jualan restoran tersebut.

Ini mendorongnya untuk membuka restoran sendiri bersama dua rakannya. Tetapi ayahnya menganggap ideanya itu tidak masuk akal. Ini kerana tiada siapa dalam keluarga mereka pernah berniaga sebelum ini.

Walaupun niatnya itu menyebabkan pertengkaran dalam keluarga, beliau tetap berdegil dan meninggalkan Pulau Pinang pada usia 20 tahun untuk mencapai impiannya.

Bisnes restoran pertamanya, Restoran Shikara dibuka pada tahun 1985 dan tidak sampai setahun ia terpaksa ditutup akibat masalah dengan rakan kongsi beliau.

Datuk Abdul Malik dibebani hutang yang banyak dan tidak cukup dengan itu, ayahnya turut mengkritiknya kerana tidak mendengar kata sebelum ini.

Tidak lama selepas itu beliau berkahwin dan berpindah ke Sydney, Australia bagi bekerja dan mengumpul wang untuk membayar hutang-hutangnya. Datuk Abdul Malik turut menimba pengalaman dalam industri F&B di sana dan mencari idea-idea baru.

Sepanjang tempoh yang sukar dan penuh tekanan itu, Datuk Abdul Malik bersyukur kerana ditemani oleh seorang isteri yang sanggup bersama bekerja keras dengannya dan sentiasa memberi galakan serta semangat.

Beliau berjaya membayar kesemua hutangnya pada tahun 1990 dan pulang ke Malaysia pada tahun 1993 untuk membuka restoran D’Tandoor yang pertama di Petaling Jaya.

Selepas 21 tahun, beliau berjaya membuka 15 cawangan termasuk di Australia, New Zealand, Arab Saudi dan Kemboja.

Dan dari sepanjang tempoh tersebut, Datuk Abdul Malik dapat menyimpulkan 3 sebab utama mengapa bisnes restoran boleh gagal :

1. Mengambil jalan mudah dengan mengambil sesiapa sahaja untuk mengurusnya. Bisnes restoran bukannya mudah dan amat penting untuk mendapatkan pekerja yang mahir untuk mengurusnya.

2. Tidak mempunyai nyalarasa atau passion dalam bidang makanan dan membuka restoran dengan niat untuk membuat untung besar dengan cepat.

3. Tidak memahami 5 faktor penting yang perlu ada dalam memastikan sesuatu restoran itu mendapat sambutan : lokasi, makanan, harga, suasana dalam restoran dan servis.

(The Star)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *