6006675045_4c202a796c_b

Apa empat strategi bisnes yang dilaksanakan oleh John Y. Brown, yang berumur 30 tahun, sebaik membeli bisnes KFC dari Col. Sanders?

Lima sebenarnya.

Pertama, menubuhkan pasukan pengurusan berpengalaman yang terdiri dari mereka yang pernah membeli francais resepi ayam goreng KFC Col. Sanders.

Kedua, mempromosikan Col. Sanders sendiri. Imej Col. Sanders yang mempunyai rambut, misai dan janggut putih serta berpakaian seragam putih sememangnya sudah terkenal di wilayah Kenctucky ketika itu. Tetapi Col. Sanders tidak pernah benar-benar menggunakannya untuk tujuan promosi.

Brown mendapatkan khidmat seorang pegawai perhubungan awam di New York bagi mempromosi sepenuhnya Col. Sanders termasuk rancangan TV. Bagi Brown, Col. Sanders adalah aset berharga syarikat kerana imejnya yang asli dan nyata, bukan dibuat-buat. Beliau adalah daya tarikan sebenar KFC.

Ketiga, melancarkan kempen pengiklanan agresif ke seluruh pelusuk negara yang menelan kos berjuta-juta dollar.

Keempat, merundingkan kembali kontrak francais dengan semua francaisi sedia ada. Jika sebelum ini Col. Sander hanya mendapat 5 sen dari setiap ayam goreng yang dijual, kini francaisi akan membayar sebahagian peratusan dari jualan keseluruhan restoran kepada Brown sebagai francaisor.

Dan kelima, mewujudkan imej restoran (warna, logo dsbnya) dan menu yang standard. Di bawah Col. Sander sebelum ini, setiap restoran yang menjual ayam gorengnya bebas menggunakan imej masing-masing kerana mereka hanya membeli francais resepi ayam goreng KFC.

Dari segi menu, sebelum ini KFC hanyalah salah satu dari menu yang dijual di restoran francaisi. Di bawah Brown, menu KFC menjadi menu utama dan ia ditambah seperti salad, kacang panggang serta kentang lecek dan setiap francaisi hanya menjual menu yang standard.

Restoran pula perlu beroperasi di bangunan free-standing iaitu tidak bersambung dengan kedai-kedai atau bangunan lain agar lebih mudah dilihat oleh pelanggan.
Kesannya?

3,500 restoran francais KFC dibuka dalam masa hanya 7 tahun (1964-1971) dan harga saham KFC meningkat. Pemegang saham yang melabur US$5,000 pada tahun 1964 mendapat pulangan sebanyak US$3.5 juta pada tahun 1971.

Dan yang lebih menarik lagi, 21 dari 300 pekerja Brown turut menjadi jutawan serta ada yang menjadi ‘separuh’ dan juga ‘suku’ jutawan.

Dalam erti kata lain, Brown tidak ‘makan seorang’ dan menghargai mereka yang bekerja bersamanya.
(Diolah dari The New Yorker)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *