kfc1

Di peringkat awal bisnes KFC pada tahun 1956, Col. Sanders dan isterinya terpaksa keluar mencari dan memilih sendiri restoran-restoran untuk melesenkan penggunaan resepi ayam gorengnya. Ini kerana ayam goreng Kentucky Fried Chickennya belum popular lagi semasa itu.

Hampir 2 tahun beliau ke hulu ke hilir mempromosikan resepi ayam gorengnya dengan cara sedemikian. Setelah ia benar-benar dikenali ramai dan semakin ramai pemilik restoran bertanya, barulah Col. Sanders berhenti mencari dan meminta mereka datang ke rumahnya untuk berbincang.

Pada waktu ini, hanya beliau dan isterinya yang menguruskan bisnes kecil resepi ayam goreng tersebut dari rumah. Col. Sanders menguruskan akaun, tempahan, promosi dan urusan pejabat yang lain manakala isterinya mengurus operasi berkaitan pengadunan rempah, pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan.

Menjelang tahun 1960, terdapat lebih kurang 200 pemilik restoran yang menjual ayam goreng Kentucky Fried Chicken (ayam goreng sahaja) dan bisnes Col. Sanders telah mencatat keuntungan US$200,000 setahun.

Nilai US$200,000 pada waktu itu adalah bersamaan dengan US$1.67 juta dalam nilai hari ini, satu jumlah yang cukup besar bagi sebuah bisnes kecil yang hanya diurus oleh sepasang suami isteri.

Pada akhir tahun 1963, jumlah restoran tersebut bertambah kepada 600 buah.

Keuntungan bisnes Col. Sanders telah meningkat kepada US$300,000 dan beliau memindahkan operasi bisnesnya ke bangunan pejabat yang dibina di belakang rumahnya.

Malah, bisnesnya sudah mempunyai pekerja seramai 17 orang pada waktu ini.

Tetapi pada masa yang sama beliau mula risau. Umur Col. Sanders telah mencecah 74 tahun pada tahun itu dan beliau terfikir apa yang akan berlaku kepada bisnesnya apabila beliau telah meninggal dunia.

Tetapi ketika ini belum wujud lagi restoran KFC yang lengkap kerana hanya resepi yang difrancaiskan.

Col. Sanders kemudiannya dipertemukan dengan John Y. Brown Jr, yang baru berumur 29 tahun dan merupakan seorang peguam yang agresif. Walaupun datang dari keluarga berada, beliau dididik untuk bekerja keras oleh ayahnya yang merupakan peguam dan ahli politik terkemuka Kentucky pada masa itu.

Ketika berumur 16 tahun, Brown sudah memperolehi pendapatan sebanyak US$700 sebulan (US$5 ribu dalam nilai hari ini) hasil menjual penyedut hampagas dari rumah ke rumah. Semasa masih belajar di Universiti Kentucky pula, dia menjadi jurujual Encylopedia Britanicca dan pada hari minggu pertama berkerja, beliau sudah memperolehi komisen sebanyak US$500.

Brown terus menjadi jurujual ensiklopedia dan apabila tamat belajar, beliau dilantik menjadi pengurus jualan kawasan dengan 30 orang penjual di bawahnya. Ketika rakan-rakan sepengajiannya masih mencari pekerjaan, pendapatan Brown sudah mencecah sebanyak US$2 ribu sebulan (US$15 ribu dalam nilai hari ini).

Pada mulanya Col. Sanders ingin mengambil beliau bekerja dengannya tetapi Brown menolak dengan baik. Col. Sander memang sudah terkenal pada waktu itu tetapi kebanyakan penduduk Kentucky pada masa itu tidak tahu kejayaan bisnesnya yang telah berjaya mencatat jualan US$200,000 setahun (US$1.67 juta dalam nilai hari ini) .

Begitu juga Brown. Jadi apabila Col. Sanders bercerita tentang bisnesnya yang berjaya dibina tanpa ada seorang pun jurujual, Brown terkejut. Terkejut bukan kerana kagum tetapi kerana memikirkan jika Col. Sander berjaya membina KFC hingga berjaya dengan tanpa sebarang pemasaran dan promosi, bagaimana pula jika Col. Sanders ada satu program atau pakej jualan yang dipasarkan secara agresif. Pasti ia akan berkali-kali ganda lebih besar.

Mereka berbincang dan Col. Sanders bersetuju untuk bekerjasama dengan Brown. Tetapi ia bukannya kerjasama menfrancaiskan KFC sebaliknya dalam bisnes yang lain.

(Diolah dari The New Yorker)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *