kfc

Ramai sudah tahu Col. Sanders bermula dengan stesen minyak sebelum membuka kafe menjual ayam goreng bertentangan dengan stesen minyak tersebut.

Kafe yang dinamakan Sanders’ Cafe mendapat sambutan terutama jualan ayam gorengnya. Tetapi pada tahun 1959 lebuhraya baru dibina mengakibatkan kenderaan tidak lagi melalui kafenya.

Jumlah pelanggan Sanders’ Cafe turun mendadak dan Col. Sanders terpaksa memberhentikan operasi.

Apa yang dilakukan oleh Col. Sanders untuk memastikan bisnesnya terus berjalan walaupun tanpa ada kafe?

Beliau tahu ayam gorengnya adalah ‘killer product’ yang menarik pelanggan datang ke kafenya sebelum ini. Dan salah seorang rakan baiknya, Harman turut menggunakan resepi tersebut di restorannya sendiri.

Ayam goreng tersebut laku dan ramai pemilik restoran yang bertanyakan mengenainya. Pada tahun 1956, Col. Sanders mula melesenkan penggunaan resepinya ke 6 pemilik restoran yang berminat dan beliau dibayar 4 sen (34 sen dalam nilai hari ini) bagi setiap ayam goreng yang mereka jual.

Resepinya semakin popular di kalangan pemilik restoran dan strategi perlesenan digunakan oleh beliau bagi mengembangkan bisnes kecilnya ketika itu. Selepas 4 tahun, semakin ramai yang berminat mendapatkan resepi dan cara menggoreng ayam goreng tersebut dan Col. Sanders mengambil keputusan untuk mula menfrancaiskan resepi ayam gorengnya itu.

Menjelang 1963,  Col. Sanders sudah mempunyai 600 pemilik restoran yang bersetuju menggunakan resepi dan cara memasaknya secara francais.

Tetapi ia tidak diperolehi dengan mudah. Pemilik-pemilik restoran tersebut bukannya datang beratur untuk membeli francais. Sebaliknya Col. Sanders berjumpa seorang demi seorang, kebanyakannya.

Col. Sanders meletak dua periuk masak tekanan tinggi serta bahan-bahan resepinya ke dalam kereta dan bersama isterinya, Claudia, beliau mengembara menggunakan kereta mengunjungi restoran-restoran yang berpotensi.

Ketika ini beliau sudah berusia 66 tahun.

Col. Sanders akan merayu kepada pemilik restoran tersebut untuk membenarkannya menggoreng ayam selepas waktu tengahari atau selepas waktu kerja bagi dihidangkan kepada pekerja-pekerja restoran tersebut.

30727402_10215790452980000_5250155597290012672_o

Sekiranya mereka menyukainya, beliau akan menawarkan pula untuk menggoreng bagi pelanggan-pelanggan restoran tersebut selama dua hari. Dan jika pelanggan-pelanggan tersebut menyukainya, pemilik restoran tersebut akan ditawarkan francais oleh Col. Sanders.

Begitulah rutin harian hidup beliau. Ia adalah proses yang memakan masa dan juga kos. Bagi menjimatkan duit, Col. Sanders dan isterinya akan tidur di dalam kereta. Perbelanjaan makan minum pula dikurangkan apabila Col. Sanders dibelanja oleh rakan-rakan yang dikenalinya sepanjang perjalanan tersebut.

Col. Sanders juga amat cerewet dalam memilih restoran yang ingin ditawarkan francais resepi ayam gorengnya.

Dalam satu kejadian, beliau dan isterinya telah memandu sejauh 750 batu sebelum tiba di sebuah restoran di Illinois pada waktu malam. Restoran itu kelihatan teruk. Col. Sanders pergi ke belakang restoran tersebut untuk melihat keadaannya. Melalui pintu kaca belakang restoran itu, beliau ternampak keadaan dapur yang juga teruk.

Col. Sanders terus masuk ke keretanya dan memandu pulang 750 batu ke rumahnya tanpa berjumpa dengan pemilik restoran tersebut.

(Diolah dari New Yorker)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *