bisnes-orang-lain

Ada tiga cara untuk memulakan bisnes.

Pertama, dengan cara melaburkan wang untuk membuka kedai, membeli peralatan, membeli stok, menggaji pekerja dan sebagainya.

Kedua, dengan menggunakan kemahiran atau bakat yang ada terlebih tanpa mengeluarkan modal besar terlebih dahulu. Contohnya, menjadi trainer, membaiki kenderaan atau peralatan di premis pelanggan, mengecat rumah, mengajar tusiyen di rumah dan membuat kek.

Cara ketiga adalah dengan menggunakan bisnes orang lain. Ini adalah salah satu cara yang sesuai bagi memulakan bisnes yang memerlukan bermodal tinggi tetapi tanpa perlu untuk kita mengeluarkan modal yang besar.

Dengan cara ini, kita sebenarnya menjalankan bisnes dengan menggunakan aset atau servis yang dijalankan oleh bisnes orang lain.

Contohnya, jika kita ingin memulakan bisnes dobi, ia memerlukan modal sekurang-kurangnya sebanyak RM500,000.00 untuk sewa kedai, pembelian peralatan, mesin dan kos renovasi. Ini adalah satu jumlah yang amat besar bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam bisnes.

Cara yang lebih praktikal adalah dengan menggunakan kedai-kedai dobi layan diri yang sedia ada.

Kita hanya perlu mengeluarkan sedikit modal untuk menyewa kedai kecil bagi tujuan pungutan baju, melipat dan mengosok pakaian. Kedai pula hanya perlu disewa separuh kedai sebagaimana yang biasa dilakukan oleh kedai gunting mamak dan kedai menjual telefon bimbit.

Tidak perlu menyewa kedai yang besar kerana bisnes dobi kita tidak mempunyai mesin membasuh dan mengering pakaian.

Model bisnes yang sama boleh digunakan untuk memulakan bisnes mencuci karpet kediaman. Malah sudah ada syarikat yang melakukannya.

Dengan mengubahsuai sedikit model bisnes tersebut, mereka menawarkan perkhidmatan mengambil karpet di rumah pelanggan dan karpet yang telah dikumpul terus dihantar ke kedai mencuci karpet.

Apabila siap dicuci, karpet-karpet tersebut akan terus dihantar ke rumah pelanggan.

Di sini, kita tidak perlu mempunyai kedai. Modal yang dilaburkan hanya untuk membeli van dan menggaji seorang pekerja.

Begitu juga jika kita ingin menjalankan bisnes kedai makan. Mulakan terlebih dahulu dengan cara ini.

Tawarkan perkhidmatan menghantar makanan tengahari ke pekerja-pekerja pejabat di kawasan pejabat yang sibuk dan padat.

Tetapkan menu yang boleh ditempah pada setiap hari dan beli dari satu jenis restoran sahaja untuk memudahkan kerja kita. Contohnya tawarkan menu masakan Melayu sahaja atau masakan Arab sahaja.

Bincang dengan tuan punya kedai makan untuk mendapatkan harga diskaun atau komisen. Masukkan juga caj penghantaran dalam harga yang dikenakan kepada pelanggan.

Untuk permulaan, modal yang diperlukan hanyalah sebuah motorsikal dengan kotak simpanan di belakang. Jika boleh dapatkan kotak simpanan seperti motorsikal mamak jual roti agar lebih banyak bungkusan makanan yang boleh dibawa.

Kelebihan memulakan bisnes dengan kaedah ini adalah ia menjimatkan kos operasi bisnes kita seperti bayaran bil elektrik, ansuran pinjaman, sewa kedai, penyelenggaraan mesin dan gaji pekerja.

Malah jika bisnes tersebut tidak menjadi, kita tidak akan pening memikirkan pinjaman perniagaan yang perlu dibayar dan apa nak dibuat dengan peralatan dan mesin yang ada.

Banyak lagi bisnes yang boleh kita jalankan dengan menggunakan bisnes orang lain. Kita cuma perlu kreatif dan pandai mengenalpasti peluang.