motor-truck

Memulakan bisnes menggunakan food truck memang seksi, trendy dan mengglamerkan.

Tetapi realitinya ia berisiko tinggi kerana kos pembelian trak dan pengubahsuaian boleh mencecah RM230,000.00 setiap satu.

Bayangkan berapa pinggan pasta atau putu bambu yang perlu dijual dalam tempoh sebulan bagi memastikan hasil jualan mampu membayar balik pinjaman membeli food truck sebanyak hampir RM3,000 sebulan (9 tahun pinjaman, 3.5 peratus faedah)?

Itu belum dicampur kos-kos overhed yang lain.

Lebih selamat jika bisnes makanan dimulakan secara kecil-kecilan dahulu.

Mula dengan meletakkan makanan yang anda sediakan di kedai-kedai dan restoran sedia ada setiap hari.

Seorang makcik yang tinggal di Taman Melati, Kuala Lumpur setiap pagi menghantar bihun yang digorengnya ke sebuah kedai makan milik bangsa Cina di Wangsa Walk. Pulangannya memang kecil tetapi risikonya terurus.

Tapi jika kita masih gian nak berbisnes ala-ala food truck gunakan sahaja kenderaan sedia ada yang dilengkapi dengan payung dan meja lipat untuk menyusun lauk jualan.

Buka sahaja di kawasan yang ramai orang bekerja seperti di kawasan pejabat atau kawasan kilang.

Atau untuk lebih mudah lagi, gunakan motorsikal yang telah diubahsuai untuk meletakkan makanan seperti motor mamak jual roti.

Setiap pagi, jual nasi lemak bungkus dan air teh panas bungkus di kawasan ramai pekerja atau di hadapan LRT.

Menggunakan motorsikal juga lebih praktikal kerana boleh parking di mana -mana sahaja dan mudah nak angkat kaki bila penguatkuasa datang.

Apa yang lebih penting jika ditakdirkan usaha bisnes pertama kita ini gagal, jumlah kerugian yang ditanggung adalah sedikit, mungkin tidak melebihi RM10,000 termasuk harga motorsikal.

Namun, jika bisnes food truck kita gagal, bukan sahaja food truck itu akan tersadai di rumah tapi setiap bulan kita masih perlu menanggung bayaran pinjaman beribu-ribu ringgit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *