mas

Di dalam bisnes salah satu cabaran yang biasa dihadapi oleh usahawan adalah stok yang tidak laku.

Jalan penyelesaian yang selalunya adalah sama ada stok tersebut dijual murah atau dilelong.

Bagaimana pula jika bisnes kita tidak melibatkan stok tetapi menggunakan mesin seperti kilang percetakan atau menggunakan kenderaan seperti bisnes kereta sewa?

Bagaimana kita dapat menangani cabaran mesin tersebut tidak banyak digunakan atau ada dua tiga buah kereta sewa yang tidak digunakan kerana kurang penyewaan? Sedangkan hutang pinjaman bulan-bulan masih perlu dibayar.

Mungkin kita boleh belajar satu dua perkara dari syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) yang juga berhadapan cabaran yang sama.

Pada tahun 2012, MAS menerima 6 buah pesawat penumpang superjumbo Boeing A380 untuk digunakan di laluan penerbangan jarak jauh dari Kuala Lumpur ke London. A380 dipilih kerana ia menjimatkan minyak, mempunyai lebih banyak kerusi dan mempunyai ruang atau dek untuk Kelas Pertama.

Strategi MAS pada masa itu adalah untuk memberi saingan kepada syarikat penerbangan Singapore Airlines dan Emirates yang menguasai laluan tersebut.

Namun, saingan untuk laluan dari Kuala Lumpur ke London itu terlalu sengit dan Emirates menjadi pilihan kebanyakkan penumpang.

Ini menyebabkan MAS mengalami kerugian di laluan tersebut. Bukan sahaja Kelas Pertama tidak mendapat sambutan penumpang malah Kelas Ekonomi juga sukar untuk diisi.

A380 terpaksa diganti dengan pesawat A350 yang lebih kecil dan sesuai dengan jumlah penumpang yang MAS dapat untuk laluan ke London tersebut.

Sekarang, 6 Airbus-380 tersebut tersadai di lapangan terbang. 2 daripadanya hanya digunakan pada musim Haji.

MAS cuba menjual kepada syarikat penerbangan lain tetapi tidakĀ  mendapat sambutan.

Selagi ianya tersadai, selagi itulah MAS akan menanggung kerugian kerana ia masih perlu membayar pinjaman pembelian pesawat ini.

Tetapi, jual bukannya satu-satunya pilihan yang dicuba oleh MAS.

Memandangkan pilihan itu tidak mendapat sambutan, MAS kini merancang untuk menubuhkan syarikat penerbangan yang akan menumpukan kepada khidmat penerbangan haji dan umrah.

Keenam-enam pesawat A380 ini akan dipindahkan ke syarikat baru ini dan diubahsuai supaya boleh membawa penumpang yang lebih banyak.

Setelah diubahsuai, ia bukan sahaja akan digunakan untuk membawa jemaah Malaysia malah akan disewakan kepada syarikat penerbangan lain di rantau ini.

Dari segi prospek, MAS yakin perancangan ini akan berjaya kerana :

Pertama, khidmat ini akan turut akan membawa jemaah umrah dan haji dari negara-negara lain.

Kedua, untuk ibadat haji sahaja, MAS perlu membawa 20,000 jemaah dari Malaysia pergi dan balik. Setiap tahun lebih kurang 2 juta umat Islam menunaikan haji.

Ketiga, umrah bukannya ibadat bermusim. Setiap minggu ada penerbangan membawa jemaah menunaikan umrah. Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu sahaja, 14 juta umat Islam pergi menunaikan umrah.

Dengan jumlah pasaran yang begitu besar ini, MAS melihat potensi untuk menawarkan perkhidmatan khas bagi memenuhi keperluan segmen pasaran ini.

Sekiranya perancangan ini berjaya, MAS akan mencipta sejarah menubuhkan syarikat penerbangan haji dan umrah yang pertama di dunia.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *