honey

6 tahun lalu, seorang bapa duduk termenung memikirkan bagaimana dia boleh mendapatkan bupon diskaun untuk membeli pizza pada harga murah sebagai makan malam untuk dua anaknya yang masih kecil.

Bapa tersebut, Ryan Hudson, adalah seorang usahawan dan beliau sedang memotong segala perbelanjaan yang tidak perlu kerana pendapatan yang tidak menentu. Hudson akan melakukan apa sahaja yang boleh menjimatkan setiap sen perbelanjaannya.

Pada malam itu juga, selepas menidurkan anaknya, Hudson yang merupakan lulusan MIT, memulakan usahanya untuk membangunkan laman web yang dapat membantu mereka yang ingin berjimat seperti beliau untuk mencari kupon diskaun. Model bisnesnya mudah, bagi setiap kupon diskaun yang dibeli pelanggan, Honey akan mendapat komisen dari peniaga yang menjual kupon tersebut. Ini merupakan bisnes keenamnya selepas gagal dalam lima bisnes terdahulu.

Bersama rakannya, George Ruan, mereka berusaha selama 2 setengah tahun untuk membangunkan prototaip laman web yang dinamakan Honey itu. Sepanjang tempoh itu, mereka menggunakan melaburkan wang sendiri sebanyak USD100,00 di dalam bisnes tersebut sehinggalah sampai ke satu tahap mereka berdua kehabisan wang. Laman web kupon diskaunnya gagal mendapat sambutan.

Usaha mereka untuk meyakinkan pelabur bagi melabur dalam projek mereka juga tidak berjaya kerana pada waktu itu pengguna Internet sudah mula beralih ke telefon bimbit.

Situasi tersebut memaksa Hudson mengambil keputusan untuk berundur sebentar pada tahun 2013 dan bekerja sebagai pengurus produk di sebuah syarikat teknologi pengiklanan. Tetapi rakannya, Ruan meneruskan membangunkan bisnes tersebut dengan apa yang ada.

Di syarikat tersebut, Hudson belajar bagaimana membangunkan produk dalam skala yang besar.

Pada masa yang sama, walaupun tidak ramai namun pengguna laman web Honey meningkat sedikit demi sedikit hasil dari pemasaran mulut ke mulut penggunanya.
Tetapi Hudson hanya mampu bertahan bekerja selama setahun sebelum berhenti pada pertengahan 2014. Jiwa keusahawanannya sekali lagi mendorong beliau untuk kembali menguruskan bisnes laman web Honeynya.

Walaupun masih bergelut dengan masalah kekurangan modal, Hudson dan Ruan tetap bertahan kerana jumlah pembeli kupon di laman web mereka telah bertambah kepada 900,000 dan ini membantu menghasilkan sedikit pendapatan untuk membolehkan bisnes mereka terus beroperasi. Pertambahan jumlah pembeli ini bukan sahaja menguatkan lagi kepercayaan mereka terhadap daya maju laman web Honey, malah ia membantu mereka mendapat sedikit pelaburan dari seorang pelabur.

Pengorbanan dan kesabaran mereka akhirnya berbayar. Pada awal tahun 2017, laman web mereka menarik perhatian sebuah syarikat pelaburan.

honey1

Kakitangan syarikat pelaburan tersebut kerap menggunakan laman web mereka untuk membeli kupon diskaun dan pengurusan syarikat tersebut yang tertarik dengan model bisnes Honey yang mudah, bersetuju melabur sebanyak USD40 juta walaupun Hudson dan Ruan tidak memohonnya.

Dengan pelaburan tersebut, Hudson dan Ruan mengambil 100 orang pekerja, beroperasi di pejabat yang lebih besar dan menggiatkan lagi aktiviti pemasaran. Laman web Honey kini menyenaraikan 21,000 peniaga dalam talian yang menawarkan kupon diskaun termasuk Macy’s, Target dan Wal-Mart.

Bisnes yang diasaskan oleh Hudson dan Ruan ini bukan sahaja sudah mula mencatat keuntungan tetapi yang lebih penting ia telah membantu pembeli kupon diskaun berjimat sebanyak US170 juta sepanjang tahun 2017.

(Diolah dari artikel di Business Insiders dan L.A Times)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *