FB_IMG_1507045127151

Kebanyakan bisnes milik bangsa Cina di Malaysia sudah masuk ke generasi ketiga iaitu generasi muda berusia 25 hingga 35 tahun.

Ada yang meneruskan bisnes keluarganya dan membesarkannya lagi. Ada yang tidak berminat dan bisnes itu terpaksa dijual atau ditutup. Dan ada juga meneruskan tapi akhirnya melingkupkan bisnes tersebut.

Bagi Ee Soon Wei, 37 tahun, cabaran yang dihadapinya sedikit berbeza.
4 tahun lalu, beliau diamanahkan untuk mengambil alih pengurusan bisnes pencetakan keluarganya, Art Printing Works (APW), yang dimulakan datuknya sejak tahun 1938.

Pada tahun 1980an dan 1990an, bisnes keluarganya dikira sangat berjaya dengan mencatat jualan tahunan hampir RM25 juta, majoriti datang kontrak pencetakan buku teks. Selepas kontrak itu tidak diperolehi lagi, jualannya menurun demi sedikit.

Ketika Ee mengambilalih, jualan tahunannya telah menurun ke RM12 juta setahun dengan separuh darinya dalam bentuk hutang lapuk yang tidak dibayar oleh rakan-rakan lama keluarganya.

Memandangkan industri pencetakan Malaysia semakin perlahan dan banyak kilang pencetakan yang sudah ditutup kerana kekurangan kerja, Ee melihat APW tidak boleh dikembangkan lagi. Beliau merancang untuk mengubah fokus bisnes keluarganya itu.

Tapi cadangannya tidak dipersetujui oleh ahli keluarga lain yang lebih tua. Mereka masih mempunyai rasa sentimetal terhadap bisnes yang telah dibina semenjak sekian lama.

Ee sendiri berasa serba salah kerana keluarganya membesar dengan kisah kehebatan bisnes pencetakan tersebut selama ini dan namanya akan tercatat di dalam buku sejarah sebagai ahli keluarga yang ‘membunuh’ bisnes itu jika rancangannya diteruskan.

Tapi Ee tidak mempunyai pilihan lain dan meneruskan rancangannya. Langkah pertama yang diambil adalah dengan memastikan dirinya dilantik sebagai CEO dan beliau sendiri turun berjumpa rakan-rakan lama keluarganya seorang demi seorang untuk mengutip hutang lapuk tersebut.

Separuh dari hutang lapuk berjaya dikutip dan sebahagian besar mesin pula dijual. Operasi pencetakan dikecilkan.

Hasilnya kilang pencetakan keluarganya di Bangsar mempunyai ruang kosong yang luas. Duit hasil kutipan hutang lapuk disimpan bagi memulakan bisnes baru.

Bagi mendapatkan idea bisnes baru yang hendak dimulakan, Ee mengembara ke luar negara dan mendapati di Eropah, banyak bangunan-bangunan lama yang diberi nafas baru dengan diubah kegunaannya.

Dari sini, Ee mendapat idea untuk menggunakan kawasan luas di kilang APW bagi bisnes penyewaan ruang untuk penganjuran sebarang acara.

Keseluruhan kawasan kilang dinaiktaraf sepenuhnya dari segi luaran dan dalaman, termasuk mewujudkan lanskap yang menarik.

FB_IMG_1507045112189

Bagi meningkatkan imej ruang penyewaannya yang terletak di kawasan industri, Ee pergi ke Singapura untuk mendapatkan penyewa dari kalangan pemain industri runcit F&B. Penyewa pertama dari Singapura adalah kafe kopi butik Pulp. Ini diikuti oleh kafe Breakfast Thieves dari Australia, Agak-agak, Kaiju, Case Study dan Proof.

Rekabentuk dan hiasan dalaman kilang yang moden serta kehadiran kafe-kafe moden ini berjaya meningkatkan imej ruang penyewaan APW dan berjaya menarik pelanggan untuk menyewa ruang bagi menganjurkan acara pada kadar sewa yang tinggi.

Pada setiap minggu, pelbagai acara seperti bazar, bengkel, persembahan dan pameran diadakan di kilang APW.

Meskipun ahli keluarganya masih skeptikal dengan ideanya tetapi Ee bertegas meneruskankan perancangannya.

Pada tahun lepas pula, beliau mengubah bahagian atas kilangnya menjadi ‘co-working space’ yang dinamakan Uppercase. Ee memfokuskan kepada ‘start-up’ dan ‘freelancer’ yang berasaskan bidang kreatif.

FB_IMG_1507045012139

Impian beliau adalah untuk mewujudkan kampus kreatif untuk golongan muda dan kerana itu segala-galanya dirancang dan direkabentuk bagi memenuhi keperluan gaya hidup golongan ini.

Kejayaan perancangannya ini membuka peluang-peluang bisnes lain kepada Ee.

Syarikat milik keluarganya kini mengenalpasti 3 bidang bisnes untuk diterokai; menjadi konsultan bagi pemilik-pemilik kilang lain yang ingin menggunakan konsep yang sama; menjadi pengurus projek bagi pemilik kilang yang tidak mahu menguruskannya sendiri dan menjadi konsultan untuk mewujudkan hab makanan seperti yang dibuka di APW.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *