harry1

Pernah dengar jenama pisau cukur Harry’s?

Ia adalah jenama pisau cukur terkenal di US dan Kanada yang diasaskan oleh dua orang sahabat berusia 30-an, Andy Katz-Mayfield dan Jeff Raider pada tahun 2013.

Sebelum kemunculan jenama ini, industri pisau cukur dikuasai oleh 2 jenama gergasi iaitu Gillette dan Schick. Jenama Gillette sudah sebati dalam hidup masyarakat US semenjak tahun 1901 manakala Schick pula pada tahun 1926.

Apa yang membuatkan dua anak muda ini mendapat idea gila untuk menghasilkan produk yang bakal mencabar dua jenama yang menguasai majoriti pasaran pada masa itu?

Idea gila ini datang apabila Katz-Mayfield menghadapi kesukaran untuk membeli pisau cukur di sebuah farmasi dan dengan harga yang mahal. Pisau cukur tersebut diletakkan di dalam kabinet kaca yang berkunci dan Andy terpaksa menunggu pembantu jualan datang dan mengambilkannya.

Beliau tiada pilihan lain pada masa itu kerana tidak ada jenama lain yang lebih murah yang dijual.

Bagi Katz-Mayfield, ianya tidak masuk akal beliau bukannya membeli cincin pertunangan yang mahal harganya. Beliau mendapati pisau-pisau cukur yang dibelinya itu mempunyai rekabentuk yang futuristik, berteknologi dan dipamerkan dengan cara yang menggambarkan ianya adalah sejenis alat yang hebat. Kedua-dua faktor ini memberi imej ekslusif kepada pisau cukur tersebut dan membuatkan harganya mahal.

Ini memberi inspirasi kepada Katz-Mayfield untuk menghasilkan pisau cukur yang berkualiti tetapi pada harga yang jauh lebih murah.

Dan beliau mengajak rakan beliau, Jeff Raider untuk bersama-sama melakukannya kerana Raider mempunyai pengalaman membangunkan bisnes menjual cermin mata yang dijual secara terus kepada pelanggan pada harga yang rendah.

Halangan pertama yang mereka hadapi adalah dua kilang utama pengeluar pisau cukur di US dimiliki oleh Gillette dan Schick dan selain dari itu hanyalah kilang-kilang kecil yang tidak mempunyai keupayaan untuk menghasilkan pisau cukur pada kualiti yang mereka mahukan.

Jadi apa yang mereka lakukan adalah mereka memesan setiap jenama pisau-pisau cukur berkualiti tinggi yang mereka dapat dalam carian di d Google dari Mesir hinggalah ke Jepun. Muka mereka dijadikan ‘makmal’ untuk menguji pisau-pisau cukur tersebut tetapi tiada satu pun yang mereka berkenan.

Pencarian mereka terhenti apabila mereka terbaca mengenai sebuah jenama pisau cukur yang terkenal di Eropah. Dan ia dihasilkan di sebuah kawasan luar bandar di Jerman di mana terdapat sebuah kilang kecil berusia 94 tahun.

Mereka melawat kilang tersebut dan selama 5 bulan berikutnya, masa mereka dihabiskan berulang alik untuk memujuk pemilik kilang tersebut menghasilkan pisau cukur yang menepati spesifikasi mereka.
harry3
Hanya pada bulan Mei 2012, pemilik kilang berkenaan bersetuju. Dengan berbekalkan dana permulaan sebanyak USD4 juta dari sebuah syarikat pelaburan, produk awal berjenama Harry’s dikeluarkan dan dijual terus kepada pengguna secara langganan melalui laman web mereka .

Tetapi kos pengeluaran yang tinggi membuatkan harga produk mereka sukar untuk diturunkan lagi. Satu-satunya cara untuk mengurangkan harga lagi adalah dengan memiliki kilang pengeluaran sendiri.

Pada bulan Jun 2013, kedua sahabat ini berjaya meyakinkan sekumpulan pelabur untuk melabur sebanyak USD122.5 juta di mana USD100 juta digunakan untuk membeli kilang di Jerman tersebut.

Pada tahun pertama produk Harry’s dijual dari kilang mereka sendiri, terdapat 500 ribu orang pelanggan membelinya dan selepas 3 tahun ia meningkat sebanyak 6 kali ganda atau 3 juta orang pelanggan.
harry2
Bersama sebuah lagi jenama pisau cukur iaitu Dollar Shave Club yang mempunyai model bisnes yang sama, Harry’s berjaya mengganggu pasaran pisau cukur US dan membuatkan Gillette menurunkan harga produk mereka bagi melindungi penguasaan pasaran.

Syarikat mereka kini bernilai sebanyak USD750 juta dengan jualan dijangka mencecah USD300 juta tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *