Matas-Jakutis-and-Danielius-Jakutis-from-Filippo-Loreti-Forbes-tomas-laurinavicius-1200x844

Pada usia 20-an, Matas Jakutis dan Daniellius Jakutis merupakan dua adik beradik di Lithuania yang berjaya mencipta rekod di Kickstarter apabila projek penghasilan jam tangan mewah mampu milik mereka (Filippo Loreti) berjaya mendapat tempahan sekitar RM5 juta dari 6 ribu orang pembeli.

Sasaran tempahan asal mereka hanyalah RM80 ribu.

Dan mereka berjaya mencapainya walaupun langsung tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang penghasilan jam tangan.

Syarikat mereka ditubuhkan pada tahun 2014 dengan matlamat untuk membolehkan penggemar jam memiliki jam tangan yang berkualiti tinggi setanding dengan jenama-jenama terkenal pada harga yang jauh lebih rendah.

Mereka berdua mendapat idea ini selepas mendapati harga jam tangan mewah permulaan (entry level) yang ada berharga RM4,000 semasa mereka hendak membelinya. Jam tangan mewah rekaan mereka dijual antara harga RM1,200 hingga RM2,500 sahaja.

Setiap model hanya dihasilkan sebanyak 1641 unit dan dihasilkan dengan tangan (hand made).

Selepas kejayaan projek Kickstarter pertama, mereka memecahkan lagi rekod dengan mendapat tempahan sebanyak kira-kira RM20 juta bagi koleksi kedua jam mereka.

1480674502_1.Filippo-Loreti-Venice-Series-01

Kedua adik beradik ini menggariskan 5 sebab utama mereka berjaya mencapai kejayaan ini :

1. Mereka berkomunikasi terus dengan pelanggan untuk mengetahui produk yang bagaimana yang pelanggan mahukan.

Dengan melancarkan projek jam tangan mereka di Kickstarter, maklumbalas dan pandangan pembeli dapat diperolehi sebelum pengeluaran dimulakan.

Proses yang sama diulang untuk penghasilan koleksi kedua dan hasilnya pembeli koleksi pertama turut membelinya (pembelian berulang).

2. Mereka memberi fokus kepada sasaran yang telah mereka tetapkan: membesarkan bisnes dalam tempoh 18 bulan pertama.

100% fokus diberikan pada projek ini dan mereka bekerja hampir 14 jam sehari untuk menjayakannya. Cara kerja Elon Musk banyak mempengaruhi mereka berdua.

Tidak seperti anak muda lain, Matas dan Daniellius mengorbankan masa dari melakukan aktiviti-aktiviti peribadi yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda seperti bersosial.

Apa sahaja aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pencapaian sasaran mereka akan diabaikan. Mereka mengisi masa terluang dengan membaca buku serta menonton video-video berkaitan bisnes dan belajar dari mereka yang sudah lama terlibat dalam industri jam tangan.

3. Tidak menggunakan orang tengah.

Mereka mendapati harga jam tangan mewah sedia ada di pasaran adalah 10 hingga 40 kali dari kos sebenar untuk menghasilkan jam tangan tersebut. Antara sebabnya adalah kerana ia dijual melalui orang tengah seperi pengedar dan peruncit.

Jadi Mattis dan Daniellius mengambil keputusan menjual terus kepada pelanggan secara online.

4. Mengawal sepenuhnya rangkaian pembekalan (supply chain) bahan mentah produk.

Sekali lagi, mereka mengelakkan orang tengah dan membeli terus bahan-bahan untuk menghasilkan jam tangan mereka terus dari pengeluar. Dengan cara ini bukan sahaja kos dapat diturunkan malah mereka sendiri boleh memantau kualiti bahan-bahan tersebut.

5. Menggunakan hanya bahan-bahan yang perlu yang praktikal.

Tidak seperti sesetengah pengeluar jam mewah yang menggunakan bahan-bahan seperti titanium dan batu berlian, Mattis dan Daniellius memilih untuk menggunakan hanya bahan-bahan berkualiti yang bersesuaian untuk standard jam tangan mewah permulaan.

Ini membantu memastikan harga jam tangan Filippo Loreti rendah dan mampu dimiliki.

– Forbes/WatchPro/Huffington Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *