srt

Pelakon yang terkenal melalui filem Magika pada tahun 2010, Diana Danielle pernah melalui zaman remaja yang amat susah.

Pada umur 4 tahun, ibubapanya bercerai dan ibunya, Norsiah Ramli terpaksa membesarkan Diana seorang diri . Ayahnya berasal dari Amerika Syarikat dan Diana tidak pernah tahu mengapa ayahnya meninggalkan mereka.

Bagi mencari rezeki, ibunya memulakan syarikat pengurusan kewangan dan kerap bekerja hingga empat hari berturut tanpa tidur yang cukup untuk menyiapkan projek.

Usaha dan pengorbanan ibunya mampu memberi kehidupan yang baik kepada mereka berdua. Mereka mampu tinggal di ‘service apartment’, melancong ke luar negara dan Diana bersekolah di sekolah antarabangsa.

Tetapi mungkin kerana tekanan dan kuat bekerja, pada tahun 2001 ibunya disahkan mendapat penyakit kanser dan perlu melalui rawatan yang rapi yang memerlukan belanja yang tinggi. Kesannya, bisnes ibunya merudum dan terpaksa ditutup.

Mereka kehilangan rumah, rakan-rakan dan kehidupan senang yang dikecapi. Diana dan ibunya terpaksa menumpang tinggal di rumah orang kerana tidak mampu menyewa rumah.

Untuk membeli sebuah cerek pun mereka tidak mampu. Selama berbulan-bulan lamanya mereka hanya mampu makan nasi lemak seringgit setiap hari. Pernah mereka hanya ada Maggi sejuk dan separuh roti untuk dijamah.

Diana juga tidak bersekolah selama dua tahun.

Walaupun penyakit ibunya sembuh tetapi ibunya terlalu lemah untuk bekerja. Pada usia 15 tahun, Diana mengambilalih tanggungjawab menyara keluarga dan mula berlakon untuk mencari pendapatan.

Pada waktu itu, beliau sudah mula bersekolah kembali namun seringkali ponteng kerana terlalu sibuk dan penat dengan aktiviti lakonan yang adakalanya memakan masa sehingga awal pagi. Tidak cukup dengan cabaran mencari rezeki, Diana juga terpaksa berhadapan dengan cemuhan orang sekeliling yang memandang serong kerana beliau tidak mempunyai bapa.

Kehidupan sukar ini dilalui sehingga Diana berumur 18 tahun dan menyebabkan beliau dan ibunya pernah mengalami kemurungan.

Tetapi semua ini menjadikan beliau seorang yang memiliki jiwa dan azam yang kuat. Sehingga kini, beliau telah membintangi lebih dari 14 siri drama TV dan juga 14 buah filem, antaranya Evolusi KL Drift, Magika dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Lakonannya dalam filem Hanyut berjaya membolehkan Diana meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia tahun lalu, manakala drama Raisha yang dibintanginya mendapat sambutan baik penonton dan akan dihasilkan bagi musim kedua.

Dan selain berlakon dan juga menjadi model iklan, Diana kini turut menjalankan bisnenya sendiri iaitu Luxuria Cosmetics, kafe Born & Bread dan Chemad Raya yang menjual pakaian kanak-kanak.

(Olahan dari artikel di mStar/InTrend)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *