secret-recipe

Secret Recipe merupakan satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Seperti mana AirAsia, Secret Recipe merupakan satu lagi jenama tempatan bertaraf global yang boleh dibanggakan.

Cawangannya kini boleh didapati Singapore, Indonesia, Thailand, China, Brunei, Myanmar dan Maldives.

Diasaskan oleh Steven Sim (Datuk), ia bermula dengan hanya satu kafe di SS2, Petaling Jaya pada tahun 1997.

Apakah resipi rahsia Steven Sim, seorang usahawan yang ‘low profile’, dalam membangunkan jenama Secret Recipe hingga mencapai tahapnya sekarang?

1. Pilih produk yang tepat untuk pasaran

Steven Sim memilih kek sebagai produk utamanya kerana walau pun ia berasal dari Barat, ia merupakan makanan universal dan terdapat dalam setiap kebudayaan, bangsa dan negara.

Ia merupakan produk yang mudah dan juga tergolong dalam kategori produk yang menyeronokkan, serta diminati setiap orang tidak kira kanak-kanak, remaja, orang muda mahupun orang tua.

2. Perkenalkan konsep yang unik dan baru

Steven Sim mengambil keputusan untuk menceburi bisnes ini apabila mendapati terdapat kekurangan yang ketara, dalam konsep kafe yang menawarkan suasana menikmati hidangan yang kasual dan santai pada ketika itu.

Pada waktu itu, konsep kedai makan adalah lebih kepada restoran, warung atau restoran makanan segera bagi pasaran pelanggan berpendapatan sederhana, dan hotel atau restoran mewah bagi pasaran pelanggan berpendapatan tinggi.

Steven Sim mengenalpasti kekosongan ini sebagai peluang, dan mengambil risiko memperkenalkan konsep menikmati hidangan dalam suasana kasual, santai namun elegan.

3. Bina pasukan kerja yang berkemahiran

Pada peringkat awal, Steven Sim bekerjasama dengan tiga orang anak saudaranya untuk memulakan bisnes. Ketiga-tiga anak saudaranya mempunyai kemahiran dalam bidang pembuatan kek, dan membangunkan produk-produk baru yang mampu menarik perhatian dan selera pelanggan.

Manakala Steven pula mempunyai kemahiran dalam bidang pemasaran, penjenamaan dan khidmat pelanggan.

4. Hasilkan perancangan yang jelas

Pada peringkat awal, Steven Sim memfokuskan pada strategi membina jenamanya untuk membezakan Secret Recipe dengan pesaing. Ini termasuklah mencipta logo, memilih warna korporat bisnes, memperincikan strategi pemasaran, menghasilkan uniform pekerja, merekabentuk paparan menu hidangan, menetapkan hiasan dalaman (interior design) kafe, dan mewujudkan standard bagi khidmat pelanggan.

Menurut Steven Sim, membina jenama yang berjaya dan bertahan lama memerlukan usahawan mengenalpasti kekuatan yang ada pada jenamanya, memfokuskan strategi pada kekuatan tersebut, dan membinanya secara konsisten.

Sejajar dengan kemajuan bisnes yang mempunyai 15 cawangan pada tahun 2000, Steven Sim menawarkan pula francais kepada usahawan yang berminat kerana beliau yakin, itu merupakan strategi terbaik untuk mengembangkan bisnesnya.

5. Sesuaikan produk dengan ‘selera’ tempatan

Sebelum memasuki sesuatu pasaran di negara baru, Steven Sim akan melakukan kajian pasaran berkaitan gaya hidup, pembezaan budaya, jenis makanan utama dan budaya pemakanan masyarakat di negara tersebut. Ini bagi memastikan produk Secret Recipe mudah diterima oleh masyarakat tempatan tersebut.

Contohnya, produk Secret Recipe bagi pasaran Thailand dan Indonesia lebih pedas, berbanding di Malaysia. Manakala bagi pasaran China, Secret Recipe memperbanyakkan menu berasaskan mee seperti char kuey teow, mee Hokkien dan mee Kantonis.

6. Jaga kualiti produk

Sebagai sebuah jenama yang mempunyai kehadiran di pelbagai negara, cabaran paling besar yang dihadapi oleh Steven Sim adalah memastikan kualiti produk yang konsisten, di setiap cawangan terutamanya rasa bagi setiap menu (kecuali menu yang perlu diubahsuai berdasarkan citarasa tempatan).

Untuk tujuan ini, Steven Sim mewujudkan sistem pengurusan seperti mewujudkan pasukan pengurus-pengurus francais, yang bertanggungjawab memeriksa tahap kualiti produk secara kerap, di setiap cawangan dan menjalankan latihan pekerja.

Pasukan pengurusan ini hanya dipertanggungjawabkan untuk fokus dalam membantu setiap cawangan francais, untuk memastikan setiap darinya mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.

7. Berfikiran besar

Walaupun telah mempunyai 15 cawangan pada tahun 2000, termasuk satu di Singapura, Steven Sim tidak berpuas hati dengan hanya mencapai tahap itu. Pada tahun yang sama beliau mengorak langkah untuk membina Secret Recipe menjadi jenama global, dengan meneroka pasaran Thailand.

Seperti yang dinyatakan di awal artikel, kini terdapat 270 cawangan Secret Recipe di mana 80 darinya terletak di luar negara.

8. Percaya pada diri sendiri

Sebelum menjadi usahawan, Steven Sim pernah memegang beberapa jawatan tinggi seperti pengarah urusan Modern Mum Sdn Bhd, pengarah Tony & Guy Hairdressing dan pengarah pemasaran Tigi Asia Pty Ltd dengan gaji mencecah lima angka.

Walaupun telah selesa dengan kedudukannya ketika itu, beliau percaya dengan kemampuan dirinya untuk menjadi usahawan yang berjaya, dengan menjadi kreatif dan mencipta sesuatu yang disukai orang ramai.

Steven Sim percaya antara kriteria penting untuk menjadi usahawan adalah mempercayai rasa hatinya, dan perlu mengelakkan diri dipengaruhi oleh pendapat orang sekeliling. Bagi beliau, apabila kita telah yakin dengan apa yang kita mahu lakukan, terus lakukannya tanpa bertangguh.

(Sumber : majalahniaga.com)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *