tanda-pemimpin-yg-teruk
Ramai orang bisnes tidak sedar kejayaan bisnes mereka banyak bergantung kepada bakat kepimpinan yang mereka ada.
Pemimpin yang teruk akan menyebabkan pekerja yang berbakat tiada motivasi untuk bekerja dan berkemungkinan besar lari ke syarikat lain.
Tetapi tiada pekerja yang akan berani memberitahu kita adalah pemimpin yang teruk.
Jadi, jika tujuh tanda di bawah ini ada pada kita, maka mungkin kita patut mula bermuhasabah :

 

1. Mempunyai sikap, ‘Saya hendak kamu buat begini. Kalau kamu tak setuju dengan cara saya, pergi cari kerja lain’.
Ini menunjukkan kita seorang pemimpin yang tidak bersikap terbuka terhadap idea orang lain dan enggan menerima perubahan.

 

2. Sibuk hendak menjadi pemimpin yang berbuat baik pada semua orang.
Menjadi pemimpin bukannya pertandingan populariti. Jika kita sibuk berbuat baik pada semua orang, ini bermakna kita tidak memimpin, sebaliknya kita sibuk hendak mengambil hati orang lain.

 

3. Mengambil tahu dengan teliti (micro-managed) bagaimana pekerja kita melakukan pekerjaan mereka.
Pekerja rimas mempunyai bos seperti ini. Mereka akan merasa tidak dipercayai dalam menjalankan tugas seharian mereka. Malah, mereka akan ‘takut-takut’ melaksanakan arahan dan menunggu kita untuk memberitahu mereka bagaimana hendak melakukannya.

 

4. Hanya mengambil berat tentang untung dan rugi.
Untung dan rugi memang penting dalam survival bisnes kita. Tapi jika kita mengabaikan faktor lain seperti kebajikan pekerja dan masalah mereka dalam menjalankan tugas, lambat laun mereka akan ‘malas’ untuk bekerja kuat untuk bisnes kita. Akhirnya, bisnes kita juga yang rugi.

 

5. Tidak suka berurusan dengan orang
Anda tidak mesra dengan orang (people-friendly)? Selalu mengelak daripada berjumpa dengan orang lain? Tidak selesa apabila dikelilingi oleh ramai orang? Maaf, jika begitu kita hanya sesuai bekerja dengan mesin atau di ladang menguruskan ternakan. Ingat, tugas asas pemimpin adalah menguruskan hubungan sesama insan.

 

6. Gila perhatian dan menjadi tumpuan.
Pemimpin yang baik akan memberi kredit atau pengiktirafan kepada pekerja yang bertanggungjawab di atas sesuatu pencapaian syarikat. Pemimpin yang kerap mengatakan ‘Saya berjaya..’ bukannya ‘Kami berjaya..’ adalah pemimpin yang mementingkan diri.

 

7. Kurang empati dan belas kasihan
Perasaan empati dan belas kasihan amat berkait rapat dengan tahap EQ atau kecerdikan emosi (emotional intelligence) individu. Jika kita seorang yang tidak berperasaan dan berhati kering, elakkan dari menjadi ketua. Kita ada potensi untuk dipanggil pemimpin tidak berhati perut kelak.