tabiat-orang-berjaya

Mereka yang tergolong dalam kategori individu berjaya dan mempunyai pencapaian luar biasa kebiasaannya mempunyai persamaan dalam tabiat pengurusan kehidupan seharian mereka.

Kevin Kruse, seorang penceramah dan penulis buku pengurusan terkenal di Amerika Syarikat, menemubual 200 orang yang mempunyai pencapaian luar biasa untuk mempelajari tabiat tersebut. Mereka yang ditemubual termasuk 7 orang bilionair, 13 orang atlet Olimpik dan usahawan-usahawan dari pelbagai industri.

Antara persamaan tabiat mereka adalah :

1. Fokus Pada Minit Bukan Jam.

Majoriti dari kita merancang jadual seharian dengan memperuntukkan jumlah untuk setiap aktiviti. Individu berjaya sebaliknya merancang jadual seharian berdasarkan  1,440 minit yang ada dalam sehari.

Setiap minit dirancang dengan teliti untuk memastikan tiada yang dibazirkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Bagi mereka, sekiranya kita berjaya menguasai setiap minit dalam kehidupan anda, kita  akan berjaya menguasai hala tuju hidup kita sendiri.

2. Fokus Hanya Pada Satu Perkara

Individu berjaya menetapkan ‘Tugasan Paling Penting’ (Most Important Task) yang perlu dilaksanakan untuk mencapai matlamat hidup mereka dan setiap pagi selama 2 jam mereka akan melaksanakan terlebih dahulu tugasan tersebut  tanpa gangguan.

Contohnya, kejayaan seorang ahli sukan lumba lari bergantung kepada kekuatan otot kakinya, maka setiap pagi selama 2 jam dia akan akan bersenam di dalam gym untuk menguatkan otot-otot kakinya.

3. Hidup Bukan Hanya Untuk Bekerja

Walaupun bekerja itu penting untuk mencapai matlamat hidup, individu turut meletakkan kepentingan terhadap perkara lain yang tidak berkaitan dengan kerja.

Ini termasuklah meluangkan masa untuk keluarga, bersenam, membaca buku dan mempruntukkan masa untuk membantu orang lain.

Dan setiap perkara ini mereka catat dan jadualkan di dalam kalendar perancangan tahunan mereka.

4. Bawa Buku Nota Kecil

Richard Branson pernah mengatakan beliau mungkin tidak akan dapat membangunkan empayar syarikat Virgin beliau jika tidak kerana tabiatnya yang selalu membawa buku nota yang kecil dalam poketnya.

Manakala taikun syarikat perkapalan Greek, mendiang Aristotle Onassis mengatakan, “Bawalah selalu buku nota. Buat catatan dalam buku tersebut. Ini adalah pelajaran bernilai (million dollar lesson) yang tidak pernah diajar di sekolah perniagaan.”

Tun Mahathir juga dikenali ramai dengan tabiatnya yang selalu membawa buku nota kecil di dalamm poket bajunya.

Apa yang dicatatkan oleh mereka dalam buku nota kecil ini? Segala-galanya yang terlintas di dalam fikiran mereka sama ada idea, pendapat, komen dari orang lain dan apa-apa sahaja.

Tujuaannya adalah bagi  mengelakkan diri mereka lupa terhadap apa yang terlintas di fikiran dan mungkin penting serta berguna.

5. Hanya Periksa Emel Sekali Sekala

Individu berjaya menjadualkan waktu khas untuk mereka memeriksa emel yang mereka terima setiap hari dan hanya menumpukan pada emel-emel yang penting dengan membalas secara ringkas.

Seorang pelajar pernah menghantar emel kepada Steve Jobs menyatakan ketidakpuashatiannya terhadap kegagalan permohonannya untuk membuat temubual di syarikat Apple bagi tujuan tugasan kursusnya. Balas Steve Jobs ringkas: ‘Kami tidak dapat memenuhi setiap permintaan dari setiap orang. Terima kasih.’

6. Elakkan Mesyuarat

Individu berjaya hanya mengadakan mesyuarat hanya apabila benar-benar perlu dan mereka memastikan ianya dijalankan dengan  cepat, ringkas serta terus ke topik perbincangan.

Mereka juga hanya menghadiri mesyuarat yang benar-benar mendatangkan manfaat.

Bagi mereka, mesyuarat adalah aktiviti yang paling banyak menghabiskan masa di mana ia akan bermula lambat, orang yang salah menghadirinya dan perbincangan kebiasaannya akan meleret-leret.

7. Katakan ‘Tidak’ Hampir Pada Semua Perkara

Usahawan terkenal, Mark Cuban, memberitahu Kevin Kruse, “Jika sesuatu perkara atau permintaan itu tidak membuatkan anda merasa teruja atau anda tidak merasakannya sesuatu yang hebat, katakan saja tidak.”

Manakala Warren Buffet mengatakan, “Perbezaan antara orang berjaya dan orang yang paling berjaya (very successful people) adalah orang yang paling berjaya mengatakan ‘tidak’ pada hampir semua perkara.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *