Screenshot_20171027-213725

Apa yang kita telah capai semasa berumur 21 tahun?

Bagi Norvan Tan yang masih belajar di Politeknik Republik, Singapura, beliau sudah melalui pengalaman pahit, getir dan manis menguruskan 5 buah bisnes sendiri.

Semuanya bermula ketika Norvan berumur 18 tahun. Ketika di sekolah menengah, beliau tergolong di antara murid-murid yang nakal dan mempunyai masalah disiplin. Kerana itu, keputusan peperiksaannya tidak cemerlang dan hanya melayakkan beliau meneruskan pelajaran di dalam bidang pengurusan kesihatan di politeknik tersebut.

Tetapi, Norvan mempunyai minat yang tinggi dalam bidang bisnes dan kerap menghabiskan masa mendengar ceramah motivasi dari mereka yang telah berjaya. Antaranya Jack Ma dan ungkapan Jack Ma yang paling diingati beliau adalah,

“Jangan sesekali berputus asa. Hari ini kita menempuhi kesusahan, esok ia akan lebih teruk tetapi hari selanjutnya matahari akan terbit.”

Ungkapan Jack Ma ini menjadi tangkal kepada Norvan apabila menempuhi kesukaran dalam membahagikan masa di antara bisnes dan pembelajarannya.

Ketika pelajar-pelajar lain seusianya sedang menikmati alam muda dan tekun belajar, beliau sentiasa terkejar-kejar, tidak mempunyai tidur yang cukup dan tidak dapat menghabiskan masa bersama keluarga serta rakannya.

Bisnes pertama Norvan dijalankan pada tahun 2013 dengan menjual topi Snapback yang sedang popular pada masa itu. Norvan menjual topi itu secara tempahan melalui online dan ini membolehkan beliau mengutip wang terlebih dahulu sebelum membelinya dari pembekal.

Apabila trend pemakaian topi Snapback berakhir, Norvan menjalankan pula bisnes mengambil gambar di pondok gambar (photobooth) yang dibuka di acara-acara.

Tetapi beliau mendapati penyedia perkhidmatan jurugambar lain turut menawarkan servis yang sama bukan sahaja pada harga yang kompetitif malah pondok gambar mereka boleh mengambil gambar secara automatik tanpa memerlukan jurugambar.

Bisnes Norvan yang seterusnya adalah di dalam bidang makanan. Beliau cuba menjual Mango Sticky Rice, pencuci mulut yang popular di Thailand, kepada katerer-katerer yang mendapat tempahan untuk acara dan majlis. Mango Sticky Rice beliau diubahsuai agar lebih kecil untuk memudahkan dimakan.

Tetapi cadangan Norvan ditolak kerana beliau tidak mempunyai dapur berpusat (central kitchen). Lebih mengecewakan beliau ada katerer yang mencuri ideanya dan menjadikan ia sebagai menu juadah mereka.

Tapi ini tidak membuatkan beliau hilang semangat dan otak beliau terus ligat berfikir mencari peluang.

Pada tahun yang sama iaitu 2014, Norvan memilih sandal pula sebagai produk bisnes seterusnya. Sandalnya dinamakan Blackout SG dan beliau memilih sandal kerana bagi beliau ia adalah produk keperluan dan ketika itu sandal berjenama seperti Crocs dan Haivanas sedang laris di pasaran.

17093145_10210936381317547_612604654_o-816x427

Bagi Norvan, ini sudah cukup untuk mengesahkan produknya akan dapat dijual.

Selepas menyimpan wang selama 6 bulan, beliau mendapatkan pertolongan rakannya yang menjalankan bisnes pengeluaran kasut dan sandal untuk menghasilkan sandal Blackout SG.

Tempat pertama beliau menjual adalah di bazar-bazar hujung minggu yang dianjurkan di sekitar Singapura. Memandangkan Norvan menguruskannya hampir segalanya seorang diri, beliau sentiasa kepenatan untuk pergi ke kelas pada hari berikutnya.

Tapi semangatnya naik kerana sandalnya mendapat sambutan dan jualan meningkat hampir 200% dalam tempoh beberapa minggu.

Permintaan yang semakin meningkat ini mendorong Norvan membuat keputusan untuk membuka kedai sendiri. Bagi mengumpul modal sebanyak SGD5,000, Norvan melakukan pelbagai kerja separuh masa termasuk menjadi pelayan bar dan mengangkat barang.

Walaupun pada ketika itu ekonomi sudah mulai suram, beliau melihat ia sebagai peluang untuk menyewa kedai pada kadar yang rendah.

Setelah berjaya mendapat kedai di sebuah pusat membeli belah, beliau melakukan pengubahsuaian dengan bantuan ayahnya yang mahir dan ini banyak menjimatkan modalnya.

Kali ini Norvan tidak menguruskan bisnesnya seorang diri. Ibubapanya membantu menjaga kedai apabila beliau perlu menghadiri kelas.

Dan beliau membawa masuk seorang rakan niaga yang merupakan sahabat baik yang banyak membantu beliau semasa masih berniaga di bazar.

Bisnesnya juga mendapat geran sebanyak SGD5,000 yang membolehkannya membeli sistem Point-of-Sales untuk mengurus jualan dan stok kedai dengan lebih teratur.

Purata jualan harian kedai Norvan meningkat 3 kali ganda dan adakalanya mencecah SGD60,000 sebulan.

Selepas 3 tahun, beliau berpindah ke kedai yang lebih luas dan lebih banyak produk lain dijual seperti t-shirt dan topi. Produk-produknya turut dijual di laman ecommerce seperti Zalora dan Shopee serta diedarkan ke kedai-kedai yang lain.

Apa yang menarik, Norvan masih tidak melupakan idea bisnes makanannya. Bersama rakan kongsinya, beliau menubuhkan pula Icy Treats Singapore yang membuka gerai menjual air batu campur Korean Bingsu di majilis perkahwinan dan majlis hari jadi.

Idea bisnes beliau yang seterusnya? Menjual produk penjagaan kulit untuk lelaki.

– Vulcan Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *