2c1f

Securiforce. Siapa yang tidak kenal dengan jenama ini. Van-van keselamatannya selalu berselisih dengan kereta kita di jalan raya dan apabila ada individu atau syarikat yang mencari -cari perkhidmatan keselamatan, Securiforce adalah antara nama yang disebut.

Apa yang membuat Securiforce begitu terkenal adalah pengasas bersamanya adalah seorang wanita iaitu Allahyaharmah Datuk Maznah Hamid.

Biasa dipanggil The Jerlun di kalangan mereka yang rapat, beliau sememangnya berasal dari daerah itu yang terletak di Kedah. Seawal umur 5 tahun, Datuk Maznah terpaksa tinggal bersama neneknya kerana kedua ibubapanya telah bercerai.

Neneknya menggalakkan beliau belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan pekerjaan yang baik dan berkahwin. Tetapi membesar di kawasan perkampungan padi yang miskin membuatkan beliau berazam untuk mencapai lebih dari itu. Beliau mahu membina kejayaannya sendiri dan mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik.

Walaupun Datuk Dr. Maznah bukannya pelajar yang cemerlang di sekolah namun beliau amat menggemari subjek bahasa Inggeris dan dapat menyambung pelajaran ke kolej.

Pada usia 17 yahun, beliau berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai guru bahasa persendirian serta menjadi penterjemah bahasa di kedutaan-kedutaan asing di Kuala Lumpur selama 2 tahun. Beliau juga bekerja sebagaj guru bahasa persendirian di syarikat-syarikat multinasional.

Semasa di sinilah beliau bergaul dengan golongan yang kaya dan berjaya serta didedahkan dengan gaya hidup dan cara pemikiran mereka. Ini memberi pengaruh positif kepada dirinya dan membentuk cara berfikirnya seperti golongan ini.

Melalui pergaulan ini, beliau melihat untuk membina kekayaan ia hanya boleh dicaoai dengan berniaga. Malah, ada orang kenamaan menasihatkan beliau agar menceburi bisnes yang belum dilakukan oleh orang orang lain.

Berpandukan nasihat dan galakan ini, Datuk Maznah mula memerhatikan peluang-peluang yang ada untuk beliau mulakan sebagai bisnes. Bekerja di kawasan dan rumah orang kaya yang memounhai rumah pengawal, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi memberinya idea untuk menceburi bisnes kawalan keselamatan.

secu1.transformed

Beliau melihat golongan ini sebagai sasaran pelanggan utamanya nanti dan percaya pasaran bisnes ini akan semakin membesar pada masa depan. Pada waktu, Datuk Maznah sudahpun berkahwin.

Ketika mencari jalan untuk memulakan bisnes ini, datang satu tawaran untuk mengambil alih sebuah syarikat kawalan keselamatan yang hampir bankrup. Datuk Maznah dan suaminya, Datuk Shaheen Mirza Habib, tidak melepaskan peluang dan terus menggunakan simpanan mereka sebanyak RM5 ribu untuk membeli syarikat tersebut pada tahun 1980 dan menamakannya Securiforce Sdn Bhd.

Bisnesnya dimulakan dengan 5 orang pengawal keselamatan dan 5 orang pelanggan yang terdiri orang kenamaan.

10 tahun pertama bisnesnya adalah tempoh sangat menguji bagi mereka berdua.

Disebabkan kekangan modal, Datuk Maznah dan suaminya terpaksa melakukan semua kerja termasuk menjadi pengurus, kerani, akauntan dan penyambut tetamu.

Malah, mereka pernah menjadi pengawal keselamatan menggantikan pengawal keselamatan yang bercuti Hari Raya. Datuk Maznah mengawal sebuah pasaraya manakala suaminya mengawal rumah kediaman seorang kenamaan.

Tetapi dengan pengalaman ini, beliau dapat melihat mempelajari segala selok belok operasi bisnes kawalan keselamatan dan belajar sendiri bagaimana mengatasi segala masalah yang timbul.

Bagi menambah modal untuk menampung perbelanjaan syarikat, Datuk Maznah melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk menjual insurans, mengajar, menterjemah, menjadi ejen hartanah dan juga ejen jualan langsung.

Ketika ingin membesarkan bisnesnya, mereka memohon pinjaman bank untuk mendapatkan modal tetapi tidak berjaya. Jadi, Datuk Maznah dan suaminya mengambil keputusan menjual rumah mereka dan berpindah duduk di kawasan setinggan yang tiada bekalan elektrik dan air kerana sewanya hanya RM50 sebulan.

Selama 2 tahun pasangan ini duduk di kawasan setinggan dan pengorbanan mereka ini berbaloi kerana modal dari hasil jualan rumah itu berjaya membantu mengembangkan bisnes tersebut.

Logistic

Kerana berjaya membangunkan bisnesnya tanpa sebarang pinjaman dan juga bantuan kerajaan, Datuk Maznah sering menasihatkan usahawan muda agar jangan sesekali memulakan bisnes dengan wang pinjaman.

Ini juga kerana mereka pernah tersilap melabur dengan membeli Sistem Penyeliaan Pusat (CMS) untuk memantau keselamatan bangunan tinggi sedangkan pada tahun 1980an, Malaysia tidak mempunyai banyak bangunan pencakar langit seperti di Barat. Walaupun pelaburan yang dibuat tinggi tetapi bisnes mereka dapat bertahan dan diteruskan kerana tiada hutang pinjaman yang perlu dibayar.

Walaupun skop servis syarikat keselamatan Securiforce hanyalah mengawal keselamatan individu atau organisasi pelanggan mereka,  Datuk Maznah dan Securiforce melakukan lebih dari itu.

Adakalanya mereka akan pergi minum, dan makan makan bersama kumpulan samseng, penagih dadah dan penjenayah bagi ‘merisik’ muslihat golongan ini yang sentiasa mencabar keselamatan pelanggan mereka.

Securiforce yang dibina oleh Datuk Maznah dan suaminya lebih 30 tahun ini kini adalah antara syarikat kawalan keselamatan terbesar di Malaysia dan turut mempunyai bisnes dalam industri logistik dan pembekalan peralatan keselamatan berteknologi tinggi. Malah ia turut mempunyai cawangan 10 buah negara termasuk di China, Korea dan Turki.

– Utusan/Kosmo/Property Insight

(Al Fatihah untuk arwah dan semoga Allah merahmati rohnya.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *